View: 3183|Reply: 0
|
Harimau Malaya hampir buat Syria ‘gigit jari’
[Copy link]
|
|
Harimau Malaya hampir buat Syria ‘gigit jari’
Akhyar Rashid berjaya menjaringkan satu gol buat skuad kebangsaan pada aksi kali ini. - Foto ihsan FAM
PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya mempamerkan kejutan apabila mengikat pasukan No. 94 dunia, Syria dengan keputusan 2-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu, China sebentar tadi.
Pada aksi di Padang Latihan East-Town itu, skuad negara kendalian Kim Pan-gon membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Paulo Josue mengetuai jentera serangan.
Seperti dijangka, Syria dilihat mendominasi awal perlawanan dan berjaya meraih gol awal hasil kesilapan benteng pertahanan dengan Mardik Mardikian menjaringkan gol permulaan pada minit ke-12.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad negara kembali memperkemaskan jentera serangan dan mula mencipta peluang apabila Faisal melakukan percubaan tepat pada minit ke-28.
Ketika pasukan negara memburu gol penyamaan, Syria sekali lagi memanfaatkan peluang untuk melebarkan kelebihan menjadi 2-0 hasil tandukan Yassin Samia menerusi sepakan penjuru pada minit ke-41.
Bersambung pada babak kedua, Pan-gon membuat perubahan taktikal dengan memasukkan pemain gantian seperti Akhyar Rashid dan Darren Lok untuk menajamkan lagi barisan serangan.
Kepercayaan yang diberikan telah digunakan sebaik mungkin oleh Akhyar untuk merapatkan kedudukan menjadi 1-2 pada minit ke-51 selepas bijak memperdayakan pertahanan skuad Asia Barat itu.
Gol tersebut menaikkan semangat pasukan untuk terus memburu gol penyamaan dan kini giliran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid turut dimasukkan sebagai pemain gantian.
Jaringan yang dicari akhirnya tiba apabila penjaga gol Syria, Ahmad Madanieh gagal menangkap kemas sepakan Safawi dengan Darren menyudahkan peluang terhidang untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81.
Skuad negara terus ghairah untuk mengasak dalam usaha mencipta kejutan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Pasukan Harimau Malaya akan mengalihkan tumpuan untuk aksi antarabangsa kedua menentang tuan rumah, China pada Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... t-syria-gigit-jari/
|
|
|
|
|
|
|
| |
|