Aktor terkenal Salman Khan dilaporkan menerima ancaman bunuh daripada seorang mafia yang tidak berpuas hati dengan kelancangan mulutnya.
Mafia dikenali sebagai Goldy Brar itu membuat ugutan itu selepas aktor Bollywood itu menghina salah seorang peserta program Big Boss OTT musim kedua iaitu Elvish Yadav.
Menerusi program realiti itu, pelakon filem Tiger 3 itu dikatakan mengecam kelakuan Elvish termasuk cara pergaulannya dengan peserta wanita.
Ini bukan kali pertama Salman menerima ugutan bunuh malah sebelum ini terpaksa mengetatkan kawalan keselamatan apabila kumpulan gangster Rajasthan iaitu Lawrence Bishnoi membuat perkara serupa.
Biarpun Lawrence berada di penjara, mesej disampaikan terus kepada aktor berusia 57 tahun itu membuatkan dia diselubungi kebimbangan.
Malah Salman dan ahli keluarganya dinasihatkan agar tidak keluar ke tempat umum yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko serangan hendap.
Lawrence dilaporkan membuat ugutan itu susulan pemburuan haram melibatkan aktor tersebut pada 1998.