|
HAMILTON yakin jentera Mercedes sedia gegar F1 musim depan. FOTO Twitter Lewis Hamilton
London: Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton akui motivasinya bukan lagi mahu memburu mahkota kejuaraan tahun ini sebaliknya ia akan 'disimpan' hingga musim depan, dengan sasaran mahu menambah gelaran dunia kelapan.
Katanya, ketika kini dia hanya mahu membantu pasukan dan juruteknik menyediakan jentera lebih padu sebagai persediaan untuk saingan tahun depan.
"Saya benar-benar tidak kisah mengenai kedudukan atau keputusan selepas perlumbaan pada tahun ini," katanya yang kini berada disenarai keempat keseluruhan pelumba terbaik tahun ini.
"Saya hanya fokus untuk cuba memberikan maklumat perkembangan terbaik untuk pasukan, bekerjasama dengan pelumba dan juruteknik untuk memastikan kami mengemudi kereta ini dengan cara yang betul pada tahun depan.
"Ia penting apabila kami memulakan perlumbaan pertama atau ujian pertama tahun depan, kami mahu mencapai kejayaan," katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Hamilton memenangi perlumbaan adalah pada Grand Prix Arab Saudi 2021, dengan musim lalu dianggap pencapaian buruk pasukan Mercedes yang hanya meraih satu kemenangan sahaja.
"Kami tidak akan mengalah dan akan cuba perbaiki jentera agar lebih baik untuk musim 2024. Itu impian saya dan pasukan yang mahu mencabar kejuaraan dunia," katanya yang hangat dikaitkan bercinta dengan ikon pop, Shakira.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ngan-f1-musim-depan |
|