NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM670,000 untuk menaik taraf dan menyelenggara fasiliti serta infrastruktur di empat sekolah di Pulau Pinang.
Empat sekolah terbabit adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Kuang yang menerima peruntukan RM150,000; SJKC Kampung Jawi (RM200,000); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Nibong Tebal (RM170,000) dan SJKC Pai Teik (RM150,000).
Semalam, KPM menyalurkan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, berkata KPM mahu memastikan segala kemudahan dan prasarana sekolah berada pada tahap terbaik bagi memastikan guru serta pelajar berada dalam persekitaran yang kondusif.
Katanya, melalui lawatan yang diadakan kebanyakan sekolah memerlukan perhatian apabila infrastruktur yang ada sudah lama dan memerlukan kerja-kerja baik pulih khususnya bumbung serta tandas.
"Oleh sebab itu, KPM meluluskan peruntukan yang boleh membantu sekolah-sekolah ini sekali gus menjaga kebajikan guru dan pelajar.
"Kita percaya bahawa dengan pesekitaran yang baik mampu mewujudkan suasana pembelajaran dan pertumbuhan pendidikan yang lebih baik," katanya.
Hui Ying berkata, sebanyak 74 daripada 81 SJKC di bawah Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di Pulau Pinang membuat permohonan peruntukan penyelenggaraan untuk tahun ini.
"KPM sentiasa mengambil berat kebajikan sekolah yang memerlukan dana untuk projek naik taraf.
"Oleh itu, saya akan pastikan kesemua sekolah terbabit (yang memohon dana) akan mendapat sekurang-kurangnya RM50,000 bagi tujuan itu," katanya.