CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 223|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'Dia tetap sempurna di mata kami'

[Copy link]
Post time 11-7-2023 02:26 PM | Show all posts |Read mode
'Dia tetap sempurna di mata kami'


Redzuan Muharam
[email protected]



KEADAAN Kasyful Hafiy Haidar Kasyful Fuzair ketika kakinya disimen selepas pembedahan. FOTO Ihsan Halwana Husain




Kepala Batas: "Andai kata tak sempurna di mata orang, dia tetap sempurna di mata kami," luah ibu empat anak, Halwana Husain.

Halwana, 35, memberi reaksi itu ketika diminta menceritakan keadaan anak bongsunya, Kasyful Hafiy Haidar Kasyful Fuzair yang dilahirkan dengan masalah kaki kanan bengkok atau congenital talipes equinovarus (CTEV) bilateral clubfoot.

Jauh di sudut hati, Halwana sedih melihat keadaan Kasyful Hafiy Haidar, lima bulan, yang kini hanya boleh meniarap, namun menerima ketentuan Ilahi dengan reda.

"Mestilah sedih kerana anak yang lain normal, namun adik (nama panggilan) pula jadi begitu.

"Sampai satu tahap, saya tutup kaki adik dengan kain kerana malu orang tengok dia dalam keadaan begitu. Waktu orang datang melawat ketika berpantang, saya beritahu mereka adik dalam pemantauan doktor.

"Saya pernah tertanya juga apa salah saya, namun suami dan keluarga terutama emak serta ibu mentua memberi kekuatan untuk saya bangkit selain adik-beradik serta rakan yang sering bertanya khabar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berikutan masalah dihidapi, Kasyful Hafiy Haidar perlu menjalani pembedahan ketika berusia dua bulan membabitkan prosedur pemotongan urat di belakang kaki.

Menurut Halwana, pada mulanya dia berat hati untuk membenarkan Kasyful Hafiy Haidar menjalani pembedahan berkenaan, namun akur selepas dinasihatkan oleh doktor.

"Selepas pembedahan, kaki adik disimen selama tiga minggu dan terus pakai kasut khas seperti yang disyorkan doktor.

"Kasut khas itu perlu dipakai dalam tempoh 23 jam setiap hari selama tiga bulan kerana fungsinya adalah membantu struktur kaki adik kembali normal dan mengelak ia bengkok semula.

"Harganya tidak murah kerana menelan kos sebanyak RM1,234. Bukan senang nak dapatkan kerana suami sampai terpaksa pinjam duit dulu dengan kawan untuk membelinya.

"Itu kenangan yang tak dapat saya lupakan, namun ikhtiar juga demi adik walaupun dia tak boleh duduk diam dan sampai kena pujuk untuk dipakaikan  kasut berkenaan," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok miliknya @wawaaaaaa.09, Halwana berkata, niatnya memuat naik video di platform berkenaan adalah untuk menyimpan kenangan dengan anaknya.

"Saya ada juga tengok ruangan komen dan bersyukur kerana ramai memberi kata semangat selain nasihat hingga menitik juga air mata ketika membacanya.

"Ramai juga mendoakan adik dan kami sekeluarga. Terima kasih kepada semua termasuk yang pernah membantu.

"Sebagai ibu, saya tentunya nak adik sihat dan tak sabar tengok adik berjalan, namun terima apa saja ketentuan Allah dengan reda," katanya.



Disiarkan pada: Julai 11, 2023 @ 2:12pm










Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-2-2025 03:07 PM GMT+8 , Processed in 0.321600 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list