Edited by Vellfire at 5-7-2023 05:20 AM
(Dari kiri) bekas Ahli Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng, Dr Kho, Dr Sim, Kako serta yang lain menunjukkan tanda bagus semasa majlis menyerahkan dua unit mesin pengimbang ultrasound daripada Kerajaan Jepun kepada SFPA. -Gambar Muhammad Rais Sanusi
KUCHING: Autonomi kesihatan perlu segera diberikan kepada Sarawak agar keputusan atau dasar-dasar penjagaan kesihatan dapat ditentukan sendiri oleh rakyat negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata demikian sebagai mengulas keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan lesen mengimport komoditi pencegah kehamilan IPPF (Persekutuan Perancang Ibu Bapa Antarabangsa) yang diperlukan di negeri ini.
Menurut Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dalam hal ini Sarawak mesti ada kuasa menentukan perkara-perkara berkaitan kesihatan bukannya menyerahkan kepada Kuala Lumpur (kerajaan persekutuan) membuat semua keputusan akhir.
Beliau juga memaklumkan perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa untuk pertimbangan sewajarnya.
"Saya akan menyenaraikan (isu ini) sebagai salah satu perkara di bawah perkara yang paling mudah diselesaikan (low hanging fruits) bagi autonomi kesihatan Sarawak di bawah MA63 (Perjanjian Malaysia 1963).
"Kuasa membuat keputusan perlu diserahkan kepada Sarawak memandangkan pegawai di Kuala Lumpur tidak boleh membuat keputusan (untuk meneruskan pemberian lesen mengimport).
"(Jika) kuasa ini diberikan kepada kita, kita boleh memutuskannya. Sebab itulah, untuk kita ada autonomi kesihatan sangat penting," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perubatan daripada Kedutaan Jepun di Malaysia kepada Persatuan Perancang Keluarga Sarawak (SFPA) di sini, hari ini.
Sementara itu ditanya pemberita selepas majlis itu, Dr Sim berkata beliau sangat sedih dan terkilan kerana pembuat dasar atau pihak di peringkat pentadbiran tidak menggunakan logik atau kewajaran ketika membuat keputusan berhubung perkara itu.
Menyifatkan ia kekecewaan berterusan rakyat Sarawak beliau berkata, perkara seperti itu boleh diserahkan kepada Sarawak menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk membuat keputusan bukannya pegawai di Kuala Lumpur.
"Boleh diwakilkan ke Sarawak dan biarlah pegawai di JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak) yang membuat keputusan dan bukannya seseorang di KL yang membuat keputusan," katanya.
Terdahulu Presien SFPA Dr Philip Kho ketika menyampaikan ucapan aluan membangkitkan perkara itu apabila memaklumkan dana tambahan lebih RM560,000 diperlukan tanpa sumbangan kontraseptif (perancang hamil) IPPF untuk Sarawak.
Menurut Dr Kho, SFPA akan mengalami kerusi besar kerana ia mempunyai bilangan penerima kontraseptif teramai dalam Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) jika lesen import komoditi kontraseptif IPPF terus dibatalkan.
Menjelas lanjut beliau berkata, selama lebih 50 tahun FHRAM telah berjaya mendapatkan lesen import komoditi IPPF bagi membolehkan persatuan-persatuan di bawah naungannya membekalkan kontraseptif kepada pelanggan mereka pada harga berpatutan terutama pelanggan B40 dan M40.
"Namun pada tahun 2021, lesen import komoditi perancang IPPF telah dibatalkan. Melalui pelbagai rayuan dan sokongan YB Prof Dr Sim, FHRAM berjaya mendapat kelulusan lesen import selama setahun.
"Pada 22 Jun 2023, FRHAM menghantar permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan untuk mengimport kontraseptif bagi tahun ini namun ia masih belum diluluskan.
"Jadi, kami mendapatkan bantuan YB Dr Prof Sim untuk membantu kami semula untuk mendapatkan lesen import.
“Jika lesen import tidak diluluskan, komoditi IPPF akan disalurkan kepada persatuan ahlinya yang lain secara global dan tidak datang ke Malaysia," jelasnya.
Pada majlis itu, SFPA menerima sumbangan dua mesin ultrasound menggunakan geran RM155,445 daripada Kerajaan Jepun melalui kedutaannya di Malaysia.
Menurutnya satu daripada mesin itu akan digunakan bagi menggantikan mesin yang lama di SFPA Kuching dan satu lagi ditempatkan di SFPA Bintulu.
Beliau menambah, pada 2010 Kerajaan Jepun telah menyumbang RM74,670 kepada SPFA, RM101,564 pada 2013 dan RM123,929 pada 2018, sumbangan itu bagi membeli peralatan perubatan serta menaik taraf fasiliti-fasiliti di SFPA.
Sementara itu, Ketua Konsular Jepun di Kota Kinabalu Kako Shiho berkata pada Mac 2022, pejabat itu menerima permohonan geran daripada SFPA kerana peralatan sedia ada mereka sudah lama dan kualitinya kurang baik untuk digunakan.
“Kerajaan Jepun memutuskan untuk menyediakan Bantuan Geran Projek Akar Umbi berjumlah kira-kira RM 154,000 bagi membiayai pembelian mesin pengimbas ultrasound untuk dua klinik di Kuching dan Bintulu.
"Bantuan Geran Jepun untuk Projek Akar Umbi adalah salah satu skim bantuan untuk memenuhi keperluan asas manusia seperti projek yang sangat bermanfaat di peringkat akar umbi dan yang memerlukan sokongan tepat pada masanya atas dasar kemanusiaan," katanya.
Kako menambah, setakat ini Jepun telah menyumbang kira-kira RM7 juta kepada 52 projek di Sabah dan Sarawak.
|