|
ARIF Aiman meledak rembatan ke gawang KL City. FOTO Bernama
Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus gah di puncak liga dengan mengekalkan rekod bersih tanpa kalah selepas membenam Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 6-1 dalam aksi tertunda Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Ia boleh dianggap kemenangan moral buat skuad kendalian Esteban Solari yang akan sekali lagi bertembung barisan pemain skuad bimbingan Bojan Hodak di pentas final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada 22 Julai ini.
Keinginan JDT memburu kemenangan bermula dengan percubaan awal minit kedua permainan selepas bola hantaran jauh Matthew Davies dikawal dengan baik Bergson Da Silva yang berada di dalam kotak penalti tapi rembatan leretnya diselamatkan penjaga gol, Muhammad Azim Al-Amin Kamaruddin.
Selepas bertali arus mengasak, akhirnya JDT berjaya merungkai jaringan minit ke-11 apabila rembatan Leandro Velazquez tepat menuju ke arah Diogo Luis Santo yang sempat menampan bola ke jaring sekali gus menewaskan Muhammad Azim.
Tuan rumah tidak menunggu lama menambah gol kedua selang dua minit kemudian selepas sepakan jauh Shane Lowry tepat kepada Arif Aiman Hanapi yang merembat leret di celah kaki Azim.
Tuan rumah terus menghukum kelemahan pertahanan skuad The City Boys pada minit ke-35 selepas sepakan lintang Davies ditanduk masuk Diogo untuk meletakkan Harimau Selatan selesa mendahului dengan jaringan 3-0.
KL City FC terus menderita selepas JDT mencipta gol keempat ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan pada babak pertama apabila hantaran lintang Endrick Dos Santos tepat kepada Corbin Ong yang sempat mendada bola dan membuka ruang buat Diogo meledak hatrik pertama dalam saingan liga.
KL City akhirnya mencipta gol pada minit ke-54 selepas berlaku kekalutan di benteng JDT dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Matko Zirdum untuk menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan.
Tuan rumah melengkapkan kemenangan bergaya pada minit k-86 selepas pemain gantian Safiq Rahim menyudahkan umpanan seorang lagi pemain gantian Juan Muniz sebelum Ahkyar Rashid melengkapkan kemenangan besar 6-1 JDT ke atas KL City.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... 1/jdt-ratah-kl-city |
|
|
|
|
|
|
| |
|