Imej pada artikel yang diterbitkan dalam majalah Going Places keluaran Jun 2023. - Gambar Facebook Dr Sim Kui Hian
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian menyatakan beliau terkejut dengan nama panggilan untuk Sarawak yang disifatkannya 'mengelirukan' seperti diterbitkan dalam majalah panduan pengembara Going Places.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dalam catatan di Facebooknya semalam, mengatakan bahawa beliau terkejut dengan subtajuk satu artikel disiarkan dalam majalah Malaysia Airlines edisi Jun 2023 berkenaan.
Walaupun tidak menyatakan maklumat yang dikatakannya mengelirukan itu, beliau dengan jelas merujuk kepada artikel bertajuk ‘The Land Below the Wind’ yang digunakan oleh majalah itu sebagai merujuk negeri Sarawak.
Dr Sim yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut memuat naik artikel berkenaan yang membawa tajuk 'Escape to Sarawak' dan subtajuk ‘Four hotels to book on your next trip to the Land Below the Wind’.
"Saya sebagai rakyat Sarawak terkejut apabila terjumpa artikel ini pada Jun 2023, " Going Places' MH. Adakah anda menemui 'kejutan' saya itu?
"Sukar untuk menjadi #SegulaiSejalai ketika orang Sarawak menjangka mengenali Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia) tetapi Malaysia Barat masih melakukan kesilapan mengenai Sarawak,” katanya dalam catatan di media sosial itu.
Sementara itu antara komen terhadap hantaran Dr Sim itu berbunyi, “Setuju dengan anda YB Dato Sri. Ini adalah kesilapan bodoh.” (Agree with you YB Dato Sri. This is silly mistake).
Untuk rekod dan umum sedia mengetahui Sarawak diberi jolokan sebagai 'Bumi Kenyalang' (The Land of Hornbill) manakala Negeri Di Bawah Bayu (Land Below the Wind) merujuk kepada negeri jiran, Sabah.
Manakala 'Segulai Sejalai' frasa bahasa Iban bermaksud 'Bersama Dalam Perpaduan'.
Frasa bahas Iban ini (Segulai Sejalai) telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri Majlis Makan Malam Gawai Peringkat Negeri baru-baru ini.
Anwar berkata 'Segulai Sejalai' akan digunakan sebagai motto dalam mempromosi dan memperkukuhkan lagi perpaduan negara.
Majalah Going Places disediakan untuk penumpang kelas pertama yang menggunakan perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines setiap hari.
Bagaimanapun ketika berita ini ditulis usaha untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini daripada pihak Going Places tidak berjaya.
|