|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0610rsshafiq_1686372311.jpg)
MUHAMMAD Shafiq Anuar mendapat perhatian netizen kerana kejujurannya mengembalikan beg tangan ditemui di parkir sebuah pusat beli belah. FOTO Ihsan Muhammad Shafiq Anuar
Kuala Lumpur: Bukan kerana ketampanannya saja namun Muhammad Shafiq Anuar mendapat pujian netizen kerana kejujurannya mengembalikan beg tangan mengandungi barangan berharga ditemui di parkir sebuah pusat beli belah di sini.
Kisahnya tular selepas Diarra Jane, 30, iaitu anak kepada wanita yang kehilangan barang itu memuat naik video Muhammad Shafiq, 28 di TikTok.
Menerusi video itu, dapat dilihat reaksi ibu kepada Diarra yang lega dan bersyukur selepas Muhammad Shafiq datang mengembalikan beg tangan yang sebelum itu tercicir di parkir pusat beli belah berkenaan.
Berkongsi kisah itu, Muhammad Shafiq berkata, dia terjumpa beg tangan milik wanita itu Isnin lalu di parkir pusat beli belah berkenaan.
"Kebetulan, saya bekerja dalam pusat beli belah itu dan pada hari kejadian, saya baru habis bekerja kira-kira jam 10 malam.
"Saya bersama rakan menyedari terdapat beg tangan di dalam troli tidak jauh daripada tempat kami meletak motosikal.
"Saya kemudian menghantar beg tangan ditemui itu ke kaunter pertanyaan, Bagaimanapun, kaunter pertanyaan sudah ditutup menyebabkan saya menyelongkar beg tangan berkenaan untuk cari kad nama sebelum pulang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Muhammad Shafiq, dia merancang untuk menghantar beg tangan berkenaan ke kaunter pertanyaan keesokannya sebelum masuk kerja.
"Dalam perjalanan pulang, saya singgah ke kedai makan. Sementara tunggu makanan dihantar, saya selongkar semula beg tangan berkenaan untuk cari kad atau apa saja maklumat bagi menghubungi pemiliknya.
"Waktu itu, saya ada nampak duit namun tak fikir nak ambil. Selepas selongkar, saya jumpa kad nama sebelum menghubung nombor tertera.
"Sebaik panggilan dijawab, saya tanya adakah individu itu ada kehilangan barang dan dia akuinya. Jadi minta masa untuk patah balik ke parkir pusat beli belah.
"Waktu sampai di situ, saya tanpa berlengah terus memulangkan kembali beg tangan itu, " katanya.
Muhammad Shafiq sedar ada yang merakam videonya ketika itu namun tidak menyangka ia akan dimuat naik di TikTok hingga tular.
"Pagi esoknya, saya bangun dan terima banyak mesej daripada rakan yang menghantar pautan video berkenaan.
Sementara itu, Diarra berkata, ibunya yang juga pemilik sebuah kafe dalam pusat beli belah itu panik selepas menyedari beg tangannya tercicir.
Bagaimanapun, mereka sekeluarga bersyukur kerana dipertemukan dengan insan jujur seperti Muhammad Syafiq yang bertindak pantas mengembalikan barangan ditemuinya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aik-muhammad-shafiq |
|