|
Emil Idzhar sudah bersedia untuk mencipta hatrik di Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang Selatan, hujung minggu ini. Foto: Ihsan Cub Prix
KUALA LUMPUR: Pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Emil Idzhar Ezuan mahu 'menakluk' podium tertinggi secara hatrik di Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Selatan, hujung minggu ini.
Emil sudah menunjukkan prestasi cemerlang pada dua perlumbaan sebelum ini di Negeri Sembilan dan Melaka apabila muncul pemenang kelas WIRA dan sudah bersedia untuk penampilan sulungnya di Litar Antarabangsa Sepang Selatan.
"Cabaran utama saya di litar Sepang nanti adalah treknya yang panjang dan pada pendapat saya, mungkin pelumba yang lebih ringan akan berada di hadapan," kata Emil yang kini berada di kedudukan kedua keseluruhan kelas WIRA dengan 50 mata.
Hanya lapan mata menjadi pemisah antara Emil dan pendahulu carta dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Amirun Haziq Johan dan 11 mata di depan penghuni tangga ketiga, Adib Hareez Hazwat (Bad Lab Honda KC Racing).
"Bagi pelumba yang lebih berat seperti saya, boleh juga berada di hadapan tetapi harus bijak mengambil angin daripada pelumba di depan. Berat mungkin menjadi cabaran bagi saya di Litar Sepang nanti. Sudah pasti saya akan cuba mencipta hatrik lebih-lebih lagi dengan keadaan jentera saya yang sempurna dan pasukan yang agak hebat."
Kempen 2023 adalah musim pertama Emil di kejuaraan Cub Prix selepas bergiat dalam Kejuaraan Mini Cub Prix dan kejuaraan motorsikal yang berbeza sebelum ini.
Sebagai seorang pelumba amatur dalam kelas WIRA, Emil berjaya tampil dengan prestasi yang mengagumkan, lebih-lebih lagi dengan kemahirannya mengendali jentera di litar teknikal yang memerlukan kepakaran teknikal untuk berada di kelompok depan.
"Saya gemar litar teknikal. Di litar Jasin hari itu, cabarannya adalah bonggol di selekoh dan keadaan litar yang agak berbukit. Bagi saya, apa yang menarik mengenai litar jasin adalah bulatan ataupun 'roundabout' yang membuatkannya unik dan berbeza daripada litar yang lain. Itu adalah pertama kalinya saya berlumba di litar sebegitu," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ar-hatrik-di-sepang |
|