|
PETALING JAYA – Biarpun memiliki pendapatan bulanan sebanyak RM5,000, namun ia hanya sekadar ‘cukup makan’ bagi seorang bapa yang mempunyai tanggungan seorang isteri dan lima anak.
Menerusi perkongsian di Facebook, Amirulz Mdd meluahkan dia juga terpaksa berhutang dengan meminjam duit daripada kenalan.
Selain itu, dia turut menyenaraikan perbelanjaan bulanannya seperti bayaran ansuran kereta sebanyak RM550 dan sewa rumah flat berjumlah RM700.
“Tambah Netflix sebulan RM33, bagi mak (RM800) ,nafkah isteri (RM800), bil eletrik (RM80), barang dapur pula RM900 (kering, basah untuk empat kali beli).
“Belanja sekolah untuk lima orang anak sekolah dalam RM400 termasuk bas sekolah. Tinggallah RM600 untuk saya tambah nilai kredit telefon dan isi minyak motor.
“Saya tak hisap rokok, vape, tidak ada Cucko atau Coway serta tak ambil hibah dan insurans. Setiap hari bawa bekal, itu pun asyik meminjam sahaja,” katanya dalam satu hantaran, hari ini.
Katanya, dia juga tidak dapat mengurangkan jumlah duit yang diberi kepada ibunya yang menyara dua lagi beradiknya yang juga orang kelainan upaya (OKU).
Amirulz Mdd memberitanu, dia juga sedih apabila tidak mampu untuk membawa keluarganya bersiar dan berjalan terutama di pusat beli-belah.
“Engkau ingat gaji RM5,000 dah cukup ke? Nak keluar berjalan pun tak lepas. Kesian tengok anak ke taman permainan sahaja.
“Nak jugak bawa tengok wayang ke, makan ‘best-best’ ke. Bapa-bapa faham lah perasaan ni. Cuma lelaki dia banyak diam,” ujarnya.
Sehubungan itu, rata-rata ramai dilihat mempersoalkan tentang nafkah isterinya yang disifatkan terlalu tinggi.
Dalam hantaran berbeza, Amirulz Md menjelaskan jumlah nafkah tersebut adalah sangat rendah dibandingkan kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh seorang isteri.
“Saya pernah tinggal di rumah waktu cuti, seminggu saya cuba buat kerja dia. Dua kali ganda penat dan 24 jam kena hadap kerenah anak-anak serta basuh baju dan masak. Memang letih.
“Bagi saya RM800 untuk diberi kepada isteri dah sikit sangat sebab saya kasihan dia penat. Saya lebih rela turun berkerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
https://www.kosmo.com.my/2023/06 ... ekadar-cukup-makan/ |
|