|
BRIGHTON meraih kemenangan ke atas Arsenal untuk menghidupkan peluang mara ke saingan pentas Eropah. – AFP
LONDON – Brighton terus menghidupkan peluang untuk beraksi dalam kancah bola sepak Eropah musim depan selepas menewaskan Arsenal 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Emirates malam kelmarin.
Masing-masing satu gol menerusi Julio Enciso, Deniz Undav dan Pervis Estupinan memastikan Brighton mengutip tiga mata selain meranapkan hasrat Arsenal untuk terus bersaing merebut takhta kejuaraan liga.
Bagaimanapun, Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya kekal merendah diri kerana menganggap tugas belum selesai selagi saingan liga belum berakhir.
“Saya sangat gembira dengan aksi yang ditampilkan semua pemain pada hari ini (kelmarin), tetapi perlu diingatkan bahawa liga belum berakhir. Jumlah 58 mata setakat ini masih belum mencukupi.
“Kami ada sasaran lebih besar, jadi Brighton perlu tambah kutipan mata. Baki perlawanan musim ini sangat penting untuk kami, saya harap pemain-pemain terus fokus bagi memastikan kemenangan kepada pasukan,” katanya.
Dalam empat perlawanan terakhir musim ini, Brighton perlu berdepan tiga aksi sukar apabila dijadualkan bertemu Manchester City, Newcastle United dan Aston Villa selain turut menentang Southampton yang sudah tersingkir.
“Kami mengharungi tempoh cukup sukar selepas aksi minggu lalu, namun hari ini (kelmarin) kami tunjukkan karakter serta semangat juang tinggi. Kami perlu tingkatkan kekuatan mental bagi mengharungi baki perlawanan musim ini untuk mencari penamat yang terbaik,” ujar De Zerbi. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/05 ... m-mahu-rasa-selesa/ |
|