|
Negeri Sembilan rancang bina stadium baharu
STAR satu-satunya stadium utama di Negeri Sembilan. FOTO Agensi
Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan merancang untuk membina sebuah stadium baharu sebagai pelengkap kepada Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri.
"Memang Negeri Sembilan mempunyai keperluan untuk ada stadium baharu, sebagai contoh bila Kerajaan Persekutuan menawarkan bagi penukaran rumput baharu dan penukaran kerusi penyokong di STAR, baru-baru ini, kita menghadapi masalah untuk meneruskan projek (tawaran) itu.
"Ia disebabkan kita tidak mempunyai stadium lain selain STAR dan jika projek itu hendak dilaksanakan, STAR terpaksa ditutup sekali gus menganggu perjalanan perlawanan bola sepak pasukan Negeri Sembilan dalam Liga Malaysia serta aktiviti sukan yang lain.
"Melihat kepada situasi itu, saya sudah mengutarakan pandangan supaya kerajaan negeri membina sebuah stadium baharu dan rancangan ini mendapat maklum balas yang positif daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Himpunan Sepak Takraw Negeri Sembilan di Dewan Pameran Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini, hari ini, yang turut dihadiri Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah.
Terdahulu, timbul desas desus kalangan penggerak sukan di negeri itu mengenai cadangan membina stadium baharu berkenaan yang bakal dibina di Bandar Sri Sendayan, di sini.
Mengulas lanjut, Mohamad Taufek berkata, stadium baharu berkenaan akan dapat memberi peluang kepada Negeri Sembilan untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf kebangsaan seperti Sukan Malaysia (Sukma) atau kejohanan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.
"Kita sudah lama tidak menjadi tuan rumah Sukma, jadi kita perlu menyediakan kemudahan prasarana sukan terbaik bagi membangunkan sukan tempatan terutama bola sepak yang mendapat sambutan tinggi rakyat.
"Pembinaan stadium baharu ini nanti mungkin tidak sebesar STAR yang boleh menampung sehingga 40,000 penonton, tetapi ia perlu lengkap iaitu sekurang-kurangnya ada trek bagi mengadakan acara sukan yang lain.
"Kita akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar sama-sama dapat memainkan peranan dengan kos membinanya ditanggung secara bersama," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... bina-stadium-baharu
|
|