|
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah merembat masuk gol tunggal menerusi sepakan penalti. - Foto AFP
LONDON: Mohamed Salah meledak gol daripada sepakan penalti untuk mengekalkan harapan tipis Liverpool mara ke Liga Juara-Juara musim depan apabila mereka menewaskan Fulham 1-0 di Anfield, awal pagi tadi.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool memperoleh 59 mata, empat mata di belakang penghuni tangga keempat Manchester United yang berkelebihan dua perlawanan dalam tangan manakala Fulham, di tangga ke-10 dengan 45 mata.
Fulham terlebih dulu memperoleh peluang berharga menerusi Carlos Vinicius yang membuatkan Alisson Becker cemas daripada dibolosi pada minit ke-14.
Enam minit sebelum tamat babak pertama, berlaku perebutan antara bek tengah Fulham, Issa Diop dan Darwin Nunez dan pengadil pantas memberikan sepakan penalti.
Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker (tengah) menyelamatkan gawang dari gerakan pemain Fulham, Bobby Decordova-Reid. Foto AFP
Salah diberikan kepercayaan untuk mengambil sepakan berkenaan dan berjaya membolosi gawang lawan sekali gus menambah jumlah jaringannya kepada lapan gol dalam perlawanan berturut-turut di laman sendiri.
Kemenangan itu memberikan pasukan tuan rumah sedikit kelegaan, namun walaupun kehadiran tonggak seperti Salah, Nunez dan Luis Diaz, Liverpool nyata bergelut untuk mendapatkan jaringan tepat memandangkan penjaga gol, Bernd Leno nyata menjalankan tugasnya dengan baik.
Pengendali pasukan, Juergen Klopp dalam pada itu berkata, dia kagum dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya dan musim ini adalah berkisarkan untuk membina momentum bagi kempen akan datang.
"(Itu) adalah sangat penting... kami perlu cuba membuat sesuatu yang boleh kami gunakan, sesuatu yang boleh kami bina untuk musim depan. Itulah yang kami lakukan dan saya gembira dengannya," kata Klopp. - REUTERS
lSalah meledak gol daripada sepakan penalti untuk bantu Liverpool raih kemenangan 1-0 ke atas Fulham. Foto: REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... iverpool-di-anfield |
|