|
MESSI pergi ke Arab Saudi tanpa kebenaran kelab.
Paris: Lionel Messi berdepan hukuman penggantungan oleh Paris Saint-Germain selepas berkunjung ke Arab Saudi awal minggu ini tanpa kebenaran kelab, menurut sumber kepada AFP.
Sumber terbabit berkata, kapten pemenang Piala Dunia Argentina itu yang tamat kontrak penghujung musim ini mungkin digantung beberapa hari manakala beberapa media di Perancis melaporkan dia tidak boleh bermain dua minggu.
"Dia tidak boleh berlatih, beraksi dan tidak akan dibayar ketika menjalani hukuman," kata sumber.
Sumber lain kelab menjangkakan pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu mungkin diketepikan dua minggu sambil menegaskan tiada sesiapa lebih penting daripada kelab.
Messi yang berusia 36 tahun Jun depan beraksi ketika PSG tewas 1-3 kepada Lorient dalam aksi Ligue 1 Ahad lalu.
Dia kemudiannya berkunjung ke Arab Saudi bagi memenuhi komitmennya dalam kontrak bersama pejabat pelancongan negara itu.
Tindakan Messi menyebabkan dia terlepas sesi latihan kelmarin sebelum skuad PSG diberi cuti rehat semalam malah dia juga mungkin tidak berlatih hari ini.
PSG kembali beraksi dalam saingan liga menentang Troyes Ahad ini tanpa Messi.
Jika diketepikan dua minggu, dia juga tidak boleh beraksi menentang Ajaccio di tempat sendiri pada 13 Mei.
Tindakan disiplin itu bermakna peluang Messi kekal di ibu kota Perancis itu selepas tempoh kontraknya tamat penghujung musim ini tampak tipis.
Ketika pada satu masa dia dijangka melanjutkan kontraknya, kini bintang Argentina itu tampak bakal mencari kelab baharu musim depan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... sg-mahu-hukum-messi |
|
|
|
|
|
|
| |
|