|
Pengendali Sporting Lisbon, Ruben Amorim.
LONDON: Chelsea dilaporkan sudah mengadakan perbincangan dengan pengendali Sporting Lisbon, Ruben Amorim dalam misi pencarian pengurus pasukan baharu kelab itu.
Blues kini sedang melakukan proses menyeluruh bagi mencari pengganti jangka panjang selepas Graham Potter dipecat di Stamford Bridge.
Pemilik bersama, Todd Boehly juga sudah mengadakan perbincangan dengan bekas pengurus Sepanyol, Luis Enrique manakala Julien Nagelsmann dan Marco Silva turut berada dalam pertimbangan.
Frank Lampard yang dipertanggungjawabkan sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim ini juga dilihat cuba menarik perhatian selain tidak menolak peluang untuk memegang jawatan panas itu untuk kali kedua.
Kini Amorim, 38, pula berada dalam pemerhatian dan pengendali dari Portugal itu mempunyai rekod cemerlang, membantu Sporting meraih gelaran pertama mereka dalam tempoh 19 tahun pada 2021 selain menjuarai Piala Liga Portugal sebanyak tiga kali - dua bersama Sporting dan bakinya bersama bekas kelab, Braga.
Pasukan kendalian Amorim mungkin hanya berada di tangga keempat dalam liga Portugal - ketinggalan 14 mata di bekalang pendahulu Benfica - namun baru-baru ini, Sporting mampu mengenepikan pendahulu Liga Pedana Inggeris, Arsenal dalam saingan Liga Europa.
Sporting mengikat Gunners 2-2 di Lisbon sebelum bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan keputusan 1-1 di Emirates dan memenanginya menerusi penentuan sepakan penalti.
Pemburuan Chelsea untuk mendapatkan pengurus tetap mula dilakukan selepas Potter dipecat pada awal April lalu dan bekas pengendali Brighton itu hanya bertahan tujuh bulan daripada kontrak lima tahun ditandatanganinya.
Jurulatih berusia 47 tahun itu hanya meraih tujuh daripada 22 perlawanan di Liga Perdana Inggeris ketika mengemui Blues. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... sea-teropong-amorim |
|
|
|
|
|
|
| |
|