|
Aksi Malaysia menentang Belanda pada perlawanan pembukaan Piala Dunia Hoki di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India. - Foto ihsan FIH
ROURKELA: Walaupun tewas 4-0, keputusan itu tidak menggambarkan persembahan sebenar Malaysia ketika menentang Belanda pada aksi pembukaan Piala Dunia Hoki di Stadium Birsa Munda hari ini.
Speedy Tigers memberi saingan kepada pasukan di ranking ketiga dunia itu dengan tiga pukulan sudut penalti, tetapi gagal dimanfaatkan untuk jaringan.
Kesilapan mudah sebaliknya membolehkan Belanda berada di kedudukan selesa - sesuatu yang tidak boleh diulangi pada aksi seterusnya menentang Chile Isnin ini.
Pengendali Malaysia, Arul Selvaraj berkata, Amirul Azhar, 22, yang mengumpul kap ke-12nya, melakukan kesilapan untuk gol kedua Belanda, tetapi pemain muda itu tidak perlu dipersalahkan.
"Amirul memberikan penalti yang memberi kelebihan kepada Belanda, tetapi kita tidak perlu menghukumnya kerana dia masih muda dan amat berbakat.
"Dia sudah bersama pasukan selama setahun, jadi kita perlu berikan dia peluang untuk belajar daripada kesilapannya," kata Arul.
Aksi Malaysia menentang Belanda pada perlawanan pembukaan Piala Dunia Hoki di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India. - Foto ihsan FIH
Kapten Marhan Jalil berkata, lebih mudah bermain menentang Belanda kali ini berbanding empat tahun lalu, namun kesilapan membuatkan mereka dihukum dengan empat gol.
"Kali ini saya rasa lebih mudah untuk Malaysia menentang Belanda kerana kami bekerja keras untuk hari ini tetapi akhirnya, pasukan lebih baik menghukum kami di atas kesilapan yang kami sendiri lakukan," kata Marhan.
Menentang Chile Isnin ini, Arul berkata: "Kami melihat aksi mereka menentang New Zealand dan boleh dijangkakan apa yang menanti Isnin ini. Saya akan membuat perancangan (untuk menang)."
Malaysia bermula baik di suku pertama dan memaksa Belanda bekerja keras untuk mendapatkan bola.
Razie Rahim beraksi baik sepanjang tempoh itu dengan memastikan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat suku pertama.
Marhan turut cemerlang mengemudi benteng pertahanan negara, namun perkara sama gagal diterjemahkan jentera serangan.
Penjaga gol Hafizuddin Othman cemerlang menyelamatkan percubaan awal Belanda, namun tewas pada minit ke-20 menerusi percubaan Thijs van Dam.
Kesilapan Amirul menolak pemain Belanda memberikan pukulan penalti yang mudah disempurnakan Jol Janssen pada minit ke-24.
Dua gol lagi dijaringkan Teun Beins (m-48) dan Jorrit Croon (60).
https://www.bharian.com.my/sukan ... bangkit-jumpa-chile |
|