|
Pemain kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim (kanan) meraikan gol jaringannya pada separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penyerang skuad kebangsaan, Faisal Halim memperoleh hadiah hari lahir yang bermakna apabila satu jaringannya berjaya memberikan kemenangan 1-0 Harimau Malaya ke atas Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022, malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, jaringan Faisal pada minit ke-11 membolehkan skuad kendalian Kim Pan Gon membawa bekalan satu gol untuk bertandang ke Bangkok bagi aksi kedua, Selasa ini.
Faisal mengakui gembira apabila dapat menyumbang jaringan penting untuk pasukan dan seluruh penyokong Harimau Malaya pada hari lahirnya yang ke-25, semalam.
"Sudah tentu saya gembira dan sedih sebenarnya, dapat jaringkan gol di hari lahir saya. Saya tak sambut hari lahir dengan keluarga, dengan isteri dan anak, satu benda yang sukar untuk saya terima.
"Tetapi saya ada rakan, jurulatih dan pasukan yang kuat di belakang saya. Walaupun sambut hari lahir dengan pasukan, ia sudah buat saya gembira," katanya.
Faisal kini mengumpul empat gol dan berada di tangga kedua carta penjaring terbanyak Piala AFF 2022 ketika ini, satu gol di belakang penyerang berpengalaman Thailand, Teerasil Dangda yang berada di kedudukan teratas.
Selain itu, Faisal turut mengakui persembahan yang ditampilkan Harimau Malaya bukan prestasi terbaik dan mereka perlu mempertingkatkan lagi mutu permainan untuk perlawanan separuh akhir kedua nanti.
"Kami lawan bukan pasukan ranking bawah, tapi kami lawan pasukan ranking lebih tinggi, mereka lebih bagus. Pemain kita perlukan pengalaman yang luas, tapi kami bekerja keras dan untuk dapat satu kejayaan bukan mudah.
"Ada 90 minit lagi di Thailand, bukan mudah sebenarnya yang mana kami tahu kita belum layak ke final, tapi ia tak mustahil dan sudah tentu kami perlu tingkatkan lagi permainan.
"Walaupun kami menang hari ini (malam tadi), tapi kami tahu permainan kami bukan seperti biasa. Saya harap di Thailand nanti kami kekalkan jaringan ini, jangan bolos kerana jika kami tidak dapat jaringkan gol, sekurang-kurangnya pasukan ada kelebihan satu gol," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ing-bermakna-faisal |
|