CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 231|Reply: 0

[Selangor] Ibu bapa lega seketika, kenaikan tambang bas sekolah tangguh hingga Mac

[Copy link]
Post time 4-1-2023 11:20 AM | Show all posts |Read mode

Penangguhan sementara kenaikan kadar tambang bas sekolah melegakan ibu bapa. - GAMBAR HIASAN



PETALING JAYA – Sebahagian pengusaha bas dan van sekolah akan mengenakan kadar tambang baharu mulai Mac ini selepas menangguhkan keputusan yang dibuat sebelum ini untuk menaikkan kadar tambang itu bermula bulan ini.

Walaupun keputusan itu memberi kelegaan sementara kepada ibu bapa, namun mulai Mac ini, mereka tiada pilihan selain terpaksa ‘hadap’ bayaran tinggi untuk menghantar anak-anak ke sekolah terutama keluarga yang ramai anak.

Di George Town, Pulau Pinang, seorang pekerja swasta, Aina Husin, 39, berkata, ketika ini, dia mengeluarkan kos tambang bas sekolah sebanyak RM500 sebulan untuk tiga anaknya.

“Minggu lalu, pengusaha ter­babit memaklumkan kenaikan tambang antara RM20 hingga RM40 seorang berkuat kuasa Januari ini, tetapi semalam (kelmarin) mereka mengatakan harga masih sama untuk tempoh dua bulan ini.

“Memang kami kena hadap juga dengan kadar tambang baharu itu nanti meskipun ketika ini saya sudah rasa terbeban apabila terpaksa membayar RM500 sebulan. Kami terpaksa terima hakikat dan tiada pilihan lain,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Seorang ibu, Norhayati Ahmad, 43, pula berkata, kadar tambang sedia ada yang dikenakan untuk seorang anak adalah sebanyak RM100 untuk jarak perjalanan dari rumah ke sekolah sejauh 4 kilometer.

“Ini kadar tambang lama untuk Januari ini dan belum sesi persekolahan baharu pada Mac nanti. Tak tahu lagi berapa kenaikannya. Sekarang susah nak cari pemandu bas sekolah.

“Ini kerana, banyak bas sekolah dan van sudah berusia hampir 30 tahun. Hendak cari van sekolah baharu memang payah dan mungkin lagi tinggi tambangnya kerana dilengkapi penghawa di­ngin,” ujarnya.

Di Shah Alam, Selangor, seorang pekerja swasta, Norhayati Othman, 46, berkata, biarpun agak terasa dengan kenaikan kadar tambang bas sekolah mulai Mac ini, perasaan itu perlu dike­tepikan asalkan keselamatan anak-anak terjamin.

“Bab-bab bayaran ini kadang­kala mak ayah pejam mata sebab memikirkan pemandu van sekolah juga perlu menjaga ke­selamatan anak-anak sepanjang berada dengan mereka.

“Kenaikan tambang anak cuma RM10 sahaja, tetapi pada tahun ini bertambah seorang lagi anak yang naik van sekolah, jadi bebanan berat sikit.

“Kalau sebelum ini bayaran RM80 untuk dua orang, bermula Mac nanti telah menjadi RM150 sebulan untuk tiga orang,” katanya.

Bagi seorang perunding hartanah, Aida G, berkata, walaupun perit dengan segala kenaikan kos sara hidup, dia tidak akan sesekali mengabaikan keperluan anaknya yang perlu menggunakan perkhidmatan berkenaan setiap hari.

“Tambang sekarang pun saya rasa dah cukup tinggi, tak tahulah apabila naik lagi nanti bermakna makin bertambahlah perbelanjaan kami sekeluarga.

“Apa pun, perkara berkaitan pendidikan anak tak akan saya ketepikan lagipun susah nak cari perkhidmatan bas sekolah sekarang,” katanya.

Pada 30 Disember 2022, Kos­mo! melaporkan golongan ibu bapa tidak berpuas hati apabila terdapat pengusaha perkhidmatan bas sekolah menaikkan lagi kadar tambang sehingga mencecah RM300 sebulan bermula 3 Januari lalu.

Majoriti ibu bapa berpendapat, kenaikan itu bersifat ke­terlaluan selain didakwa cuba mengambil kesempatan di sebalik kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barangan keperluan.

https://www.kosmo.com.my/2023/01 ... g-bas-ditangguhkan/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-5-2024 11:18 PM GMT+8 , Processed in 0.596138 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list