|
Pemain kebangsaan, Mohamad Faisal Abdul Halim meraikan jaringan pertama pasukan Malaysia pada perlawanan kumpulan B Piala AFF menentang Myanmar di Stadium Thuwunna. - BERNAMA
Dari Yangon, Myanmar
Penjaring gol tunggal negara, Faisal Halim menyifatkan tiga mata yang digenggam selepas menewaskan Myanmar 1-0 dalam aksi sulung Kumpulan B Piala AFF adalah hasil kerjasama berpasukan.
Kata Faisal, meskipun dia berjaya mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-52, namun tanpa hasil bantuan rakan sepasukan ia tidak akan menjadi kenyataan.
"Ia syukur Alhamdulillah, bukan saya yang membawa pasukan kita mendapat tiga mata, kita semua pemain yang berusaha sendiri dan akhirnya saya dapat peluang.
"Terima kasih kepada rakan-rakan berjuang sampai minit akhir. Walaupun perlawanan malam ini kita menganggap begitu mudah, tapi sebenarnya sebaliknya yang berlaku.
"Kedua-dua pasukan bermain dengan tempo sangat tinggi, tapi ini lah bola sepak. Siapa yang dapat menjaringkan gol dia muncul pemenang," katanya yang ditemui sejurus tamat aksi itu di Stadium Thuwunna, di sini, malam tadi.
Ujarnya, Myanmar yang dibimbing Antoine Hey memberi tentangan sengit khususnya 45 minit babak pertama sebelum jurulatih negara Kim Pan-gon mengubah sedikit strategi.
"Kita 45 minit pertama memang sedikit tertekan. Memang kita sebagai pemain pun akui, kita memang tak boleh main babak pertama.
"Separuh masa kedua jurulatih tukar sedikit dan lebihkan tekanan, dan keadaan padang pun dalam keadaan tidak baik sebenarnya. Tapi itu bukan satu alasan, memang kita cuba yang terbaik dan akhirnya itu saja yang kita mampu sebenarnya," kata bekas pemain Terengganu FC itu.
Selepas ini, Malaysia akan meneruskan kempen Kumpulan B dengan menanti kunjungan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
https://www.bharian.com.my/sukan ... kerjasama-sepasukan |
|