|
MESSI memenang Piala Dunia selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa di Ezeiza. FOTO AFP
Paris: Lionel Messi akan meraikan kejayaannya di Piala Dunia dengan bersetuju untuk kekal di Paris Saint-Germain, lapor media tempatan, ketika dia cuba membantu kelab Perancis itu merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama.
Pemain berusia 35 tahun itu, yang membawa Argentina memenangi Piala Dunia selepas menewaskan Perancis pada aksi final di Qatar hujung minggu lalu, akan menandatangani lanjutan kontrak semusim lagi daripada kontrak semasanya yang akan berakhir pada musim panas.
Le Parisian dan RMC Sport melaporkan Messi akan mengadakan perbincangan bersama Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dan pegawai tertinggi kelab itu apabila dia kembali selepas berakhir kempen Piala Dunia.
Messi menyertai PSG pada 2021 menerusi kontrak selama dua musim dengan pilihan lanjutan setahun lagi selepas menghabiskan keseluruhan karier profesionalnya bersama Barcelona.
Pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara pada 2006, 2009, 2011 dan 2015 di Sepanyol serta 10 mahkota La Liga.
Pada Ahad lalu, dia memberi inspirasi kepada Argentina yang muncul juara dunia menerusi penentuan penalti ke atas Perancis berikutan aksi kedua-dua pasukan berakhir 3-3 selepas masa tambahan.
Messi, yang dinamakan pemain terbaik kejohanan itu, menjaringkan dua gol pada aksi final itu manakala rakan sepasukannya di PSG, Kylian Mbappe meledak hatrik untuk Perancis.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... setuju-kekal-di-psg |
|