|
SCALONI meraikkan kejayaannya muncul juara Piala Dunia. -FOTO Reuters
Doha: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni berkata terpulang kepada Lionel Messi untuk memutuskan sama ada dia mahu bermain satu lagi Piala Dunia ketika negara Amerika Selatan itu meraikan kemenangan dramatik ke atas Perancis pada perlawanan akhir.
Scaloni penuh emosi pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Lusail memuji pemainnya kerana 'berjuang bersungguh-sungguh' untuk memenangi Piala Dunia ketiga mereka.
Dalam perlawanan di Doha, Argentina melakar kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti selepas hatrik Kylian Mbappe menyaksikan perlawanan terikat 3-3 selepas masa tambahan.
Messi, 35, meledak dua gol untuk dia menjulang Piala Dunia pertama dalam karier penuh gemilang.
Jurulatih itu memaklumkan kepada pemberita bahawa terpulang kepada Messi untuk menentukan hala tujunya apabila ditanya mengenai kemungkinan dia akan terus beraksi pada Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
"Jika dia mahu terus bermain, dia akan bersama kami," kata Scaloni.
"Dia lebih daripada berhak untuk memutuskan sama ada dia mahu kekal beraksi dengan Argentina atau tidak atau apa yang mahu dilakukan dalam kariernya.
"Dia seorang pemain yang hebat buat kami. Satu kegembiraan buat kami untuk melatihnya dan rakan sepasukannya. Segala yang disampaikannya kepada rakan sepasukannya tiada tandingan, sesuatu yang tidak pernah saya lihat sebelum ini."
Selepas perlawanan itu, Messi berazam untuk terus beraksi di peringkat antarabangsa di sebalik memenuhi impian sepanjang hayatnya tetapi dia mengakui kariernya kini di penghujung.
"Saya mahu terus mengharungi beberapa perlawanan lagi sebagai juara dunia... karier saya hampir berakhir kerana ini adalah tahun-tahun terakhir saya," kata Messi, dengan sasaran berikutnya adalah membantu kelabnya Paris Saint-Germain merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat julung kali.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... tukan-masa-depannya |
|