|
DOHA: Bersahabat di Paris, bermusuh di Qatar.
Itu situasi Lionel Messi dan Kylian Mbappe yang bakal menjadi tumpuan berbilion penduduk dunia hari ini apabila Argentina menentang Perancis dalam pertembungan akhir Piala Dunia paling epik.
Selepas 36 tahun tidak mendakap trofi, Argentina amat terdesak untuk membawa pulang kejuaraan, memberikan hadiah paling istimewa buat 45 juta rakyat mereka dan mengembalikan maruah bola sepak Amerika Selatan.
Bakal menampilkan magisnya buat kali terakhir sebelum bersara, Messi, 35, akan melakukan apa sahaja untuk memenangi satu-satunya trofi yang tidak pernah dirangkul dalam kariernya yang gemilang.
Berjaya meledak lima gol dan tiga bantuan jaringan setakat ini meletakkan pemenang tujuh anugerah Ballon d’Or itu sebagai calon untuk memenangi trofi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak, selain Bola Emas pemain terbaik.
Begitupun, Messi perlu bersaing dengan sahabatnya di Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe yang turun dengan semangat tinggi untuk memahat sejarah buat Perancis.
Perancis akan memahat sejarah sebagai negara pertama selepas Brazil (1958, 1962) menjulang Piala Dunia dua kali berturut-turut jika menumpaskan Argentina di Stadium Lusail hari ini.
Seperti Messi, Mbappe, 23, juga berada di landasan terbaik untuk memenangi Kasut Emas selepas meledak lima gol, malah dia juga berpotensi meraih Bola Emas kerana telah mencipta dua bantuan jaringan.
Mampukah Messi akhirnya menyamai kehebatan legenda Argentina, Diego Maradona membawa pulang Piala Dunia buat kali ketiga (selepas 1978, 1986) atau Mbappe memahat sejarah memenangi dua Piala Dunia hanya pada usia 23 tahun?
https://www.utusan.com.my/sukan/ ... is-memburu-sejarah/ |
|