|
WASHINGTON – Kumpulan Daesh mengaku bahawa ketuanya, Abu al-Hasan al-Hashmi al-Qurayshi sudah meninggal dunia dan tempatnya akan digantikan oleh Abu al-Husain al-Husaini al-Quraishi, lapor portal berita CNN.
Gabungan media kumpulan itu, al-Furqan menerbitkan mesej audio daripada jurucakap Daesh yang mengumumkan kematian al-Qurayshi yang sebelum ini dilantik bagi menggantikan Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi
untuk menerajui Daesh pada Mac lalu.
Abu Ibrahim meninggal dunia dalam satu operasi ketenteraan di barat laut Syria.
 Foto: AFP
“Saya mengumumkan dan berkabung untuk negara Islam dan pejuang-pejuang negara Islam yang maha kuasa, (ketiadaan) Amir dan Khalifah Muslim, Abu al-Hasan al-Hashmi al-Qurayshi. Dia terbunuh ketika berjuang melawan musuh Tuhan,” kata jurucakap Daesh, Abu Omar al-Muhajer dalam mesej yang dikeluarkan kelmarin.
Bagaimanapun, Daesh tidak menjelaskan siapa yang membunuh ketua kumpulan itu atau lokasi di mana dia meninggal dunia.
Hanya maklumat yang sedikit diperoleh mengenai ketua baru Daesh itu tetapi kumpulan berkenaan menyifatkan pengganti Qurayshi tersebut sebagai seorang pejuang veteran tanpa memberikan sebarang butiran dengan lebih lanjut.
Qurayshi yang meninggal dunia itu dilantik oleh Daesh pada Mac 2022 selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan kematian Abu Ibrahim dalam operasi ketenteraan di barat laut Syria.
Walaupun butiran kematian al-Qurayshi masih belum jelas, penyelaras Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby menyatakan pihaknya mengalu-alukan berita kematian tersebut. – CARI
Sumber: Kosmo |
|