|

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 86.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Ayer Hitam.
BATU PAHAT: Seorang lelaki maut apabila kereta Proton Wira dipandunya ‘menyeberang’ ke laluan bersebelahan lalu bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 86.1 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara berhampiran Ayer Hitam tengah malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner (ACP) Ismail Dollah berkata, semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.
“Hasil siasatan mendapati, kereta Proton Wira dipandu Karthig Ramasamy, 37, yang datang dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru ‘menyeberang’ ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah bas di lorong kanan sebelum terbalik.
“Akibat pertembungan itu, mangsa yang berasal dari Labis tersepit di tempat duduk sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pemandu bas berusia 48 tahun yang gagal mengawal kenderaannya kemudian bergesel dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 42 tahun, namun kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. –UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... sebelum-bertembung/ |
|