|
Johor Bahru: Bekalan sayuran di beberapa negeri di Semenanjung terjejas sehingga 30 peratus sejak dua minggu lalu berikutan hujan lebat yang mula melanda di kebanyakan ladang sayur.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee berkata, hujan lebat yang semakin kerap melanda itu menyebabkan pengeluaran hasil sayuran terutama berdaun terjejas.
Fenomena cuaca itu katanya, turut menyebabkan bekalan sayuran di pasaran berkurangan sekali gus berlaku kenaikan harga bahan mentah itu antara 10 hingga 25 peratus ketika ini.
"Bekalan sayuran ketika ini berkurangan sehingga 30 peratus berikutan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan ladang sayuran terutama di Johor, Pahang dan Perak.
"Bekalan sayuran yang kurang menyebabkan beberapa jenis sayur naik harga termasuk kacang panjang yang kini naik RM2 sekilogram (kg) kepada RM6.50 berbanding RM4.50 minggu lalu.
"Bendi naik RM1 kepada 6.50 kg, kacang buncis juga naik kepada RM9 kg berbanding RM8 minggu lalu dan cili api kampung kini RM27 kg berbanding RM26.
"Sayuran tanah tinggi dari Cameron Highlands juga naik harga membabitkan tomato yang kini antara RM2.50 hingga RM3.50 kg berbanding antara RM2 hingga RM2.50, minggu lalu manakala kobis bulat kini RM3.20 kg berbanding RM2.80 kg sebelum ini, " katanya ketika dihubungi.
Pada 7 September lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan mengesahkan tidak berlaku kekurangan bekalan sayur di dalam negara pada masa ini, berikutan kemerosotan itu hanya pada tahap 10 peratus.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kekurangan bekalan sayuran disebabkan keadaan cuaca hujan dan kemerosotan permintaan sekitar bulan lalu.
Dalam pada itu, peniaga pasar basah sayuran di Tampoi, di sini, Suwanto Baharuddin, 48, berkata, bekalan sayuran terutama jenis berdaun semakin berkurangan sejak dua minggu lalu.
"Bekalan sayuran memang tak banyak sekarang ini terutama sayur sawi, bayam dan kangkung. Bekalan yang dihantar pun tidak banyak dan saiznya juga kecil berbanding sebelum ini.
"Berikutan kekurangan bekalan harga sayur berdaun kini naik antara RM1.50 hingga RM3.50 ketika ini.
"Cili merah kampung atau tanah rendah paling melonjak naik ketika ini iaitu naik RM14 kepada RM28 kg berbanding sebelum ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... na-bekalan-terjejas |
|