|

Kereta selain pisau dipercayai digunakan dua suspek menyamar polis yang berjaya ditahan sekitar Tangkak dan Muar, semalam membawa penemuan pelbagai barangan milik mangsa samun warga Nepal.
Tangkak: Tembelang dua lelaki menyamar sebagai anggota polis ketika menyamun warga asing terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Tangkak dan Muar di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, pihaknya menerima laporan daripada dua lelaki warga Nepal masing-masing berusia 25 tahun yang memaklumkan disamun pada 8 Ogos lalu.
"Dalam kejadian samun pada 8.30 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh kilang besi sedang berjalan berhampiran sebuah jambatan di laluan Grisek ke Panchor.
"Mangsa kemudiannya didatangi dua lelaki dikenali yang menaiki sebuah Proton Saga FL dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
"Seorang daripada suspek kemudiannya mengeluarkan sebilah pisau dan meminta telefon bimbit selain melarikan beg sandang milik pengadu sebelum suspek terbabit terus beredar dari lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Fadhil berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 36 dan 37 tahun dalam serbuan berasingan di sini pada 6.30 petang dan sekitar Muar pada 8.45 malam.
"Hasil penahanan mereka itu, barangan milik mangsa yang dilarikan iaitu beg sandang, telefon bimbit dan kereta serta sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian berjaya ditemukan.
"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek tiada mempunyai rekod lampau.
"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati suspek berusia 37 positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek direman selama lima hari hingga 10 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... 8/polis-tidur-lokap |
|