|

BADAN Muhammad Aqil Iskandar Mohd Ashraf yang membengkak akibat menghidap Sindrom Nefrotik. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Usianya baru mencecah 18 bulan, namun dia sudah diuji apabila menderita masalah buah pinggang Sindrom Nefrotik yang menyebabkan organ berkenaan gagal berfungsi dengan baik.
Keadaan kesihatan Muhammad Aqil Iskandar Mohd Ashraf kini makin merosot, malah badan menjadi 'kembang' yang menyebabkannya sukar bergerak.
Ibunya Noor Athirah Abdullah, 23, berkata, sejak anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan menghidap penyakit berkenaan, dia dan suami terpaksa berhenti kerja kerana perlu memberi tumpuan terhadap Muhammad Aqil.
"Sejak lahir Muhammad Aqil sihat dan aktif, namun ketika berusia setahun keadaan menunjukkan tanda-tanda pasif.
"Kira-kira empat bulan lalu matanya bengkak dan kami menyangka mungkin hanya digigit semut sebelum perut membengkak.
"Kami kemudian membuat pemeriksaan di hospital sebelum doktor mengesahkan anak mengalami buah pinggang bocor atau Sindrom Nefrotik yang mana organ itu gagal berfungsi," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Garden Avenue, Seremban 2, di sini, hari ini.
Noor Athirah berkata, doktor memaklumkan Sindrom Nefrotik menyebabkan buah pinggang pesakit mengalami kehilangan protein dalam air kencing dan aras protein dalam darah rendah.
"Aras protein dalam darah yang rendah akan menyebabkan pembengkakan di sekitar mata, perut dan kaki. Anak saya adalah pesakit termuda di negeri ini yang mengalami Sindrom Hefrotik," katanya.
Menurutnya, sejak disahkan menghidap penyakit itu, Muhammad Aqil perlu menjalani rawatan susulan dan pemeriksaan selain mereka juga berusaha melalui rawatan alternatif.
"Bagaimanapun situasi itu menyebabkan saya dan suami banyak mengambil cuti sebelum mengambil keputusan berhenti kerja. Suami kini bekerja sendiri sebagai penghantar barang.
"Aqil kini bergantung kepada ubat, namun ia menyebabkan badannya semakin membengkak dan menyukarnya bergerak. Selepas mencuba rawatan alternatif, kesihatan semakin baik dan badannya susut.
"Dengan pendapatan suami yang tidak menentu ini, kami terpaksa melakukan catuan dan berjimat cermat demi mendahulukan keperluan keluarga terutama Aqil dan dua lagi anak termasuk sewa bulanan," katanya.
Noor Athirah berkata, dia berbesar hati sekiranya ada pihak dapat memberikan rawatan yang berkesan kepada anaknya itu.
Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini boleh menghubungi Noor Athirah di talian 018-9553236.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ng-sindrom-nefrotik |
|