|

LIMA kru bot pukat tunda nelayan tempatan ditahan di di Tanjung Tebal. FOTO ihsan PPM
Kota Tinggi: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan sebuah bot pukat tunda nelayan tempatan kelas C di Tanjung Tebal, perairan Sedili, di sini, pagi semalam, selepas disyaki melanggar syarat sah lesen dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia.
Komandernya, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, bot pukat tunda itu ditahan kira-kira jam 3 pagi selepas dikesan menunda kurang daripada 12 batu nautika dari pesisir pantai di tanjung berkenaan.
"Ketika kejadian, kita turut menahan lima orang kru termasuk tekong yang semuanya warga tempatan berusia antara 28 hingga 56 tahun," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Menurutnya, pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan dan ikan seberat kira-kira 1,000 kilogram.
Katanya, barang rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Perikanan Johor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.
Muhd Zailani berkata, PPM Wilayah Dua Johor akan terus meningkatkan usaha melindungi sumber perikanan negara dengan memberi tumpuan kepada aktiviti pencerobohan oleh bot nelayan asing dan bot nelayan tempatan.
"Pengusaha bot nelayan turut diingatkan supaya mematuhi semua undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini.
"Masyarakat maritim khususnya diseru untuk berhubung terus melalui talian telefon 07-2372222 bagi melaporkan sebarang maklumat perlakuan jenayah," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... anggar-syarat-lesen |
|