|
Batu Pahat: Selepas lembu sado, kini unta pula jadi pilihan umat Islam untuk mengerjakan ibadah korban.
Di Batu Pahat, Johor, satu-satunya penternak haiwan padang pasir di negeri itu mengakui tidak mampu menampung tempahan orang ramai kerana bekalannya sukar diperolehi.
Penternak, Sarjuni Karjani, 60, mula menternak kira-kira 20 unta yang diimport dari Australia di ladangnya di Kampung Parit Tengah.
Katanya, dia mendapat ilham untuk menceburi ternakan unta selepas pulang daripada mengerjakan haji pada 2016.
Katanya, harga seekor unta dewasa berusia lebih empat tahun mampu mencecah puluhan ribu ringgit, malah pernah menjual seekor unta pada harga RM32,000 sebelum ini.
Biarpun haiwan itu berdepan cuaca dan persekitaran baharu, namun unta dapat menyesuaikan diri dengan cepat, katanya.
Sarjuni berkata, memandangkan bekalannya tidak menentu, dia kini memberi fokus kepada ternakan lembu dan kambing yang diusahakan sejak 30 tahun lalu.
Selain ibadah korban, 15 unta ternakannya turut digunakan untuk produk pelancongan di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka.
Sementara itu, seorang pembeli, Amirah Farhana Ishak berkata, daging unta lebih sedap berbanding daging lembu.
"Memang sedaplah dagingnya, bezalah dengan daging lembu sebab lembu kita dah selalu makan. Kalau macam daging unta ini kita jaranglah nak dapat makan. Kalau orang dengar daging unta teringinlah nak makan daging unta," katanya.
Seorang lagi pembeli, Md Syahril Mustaffa berkata, dia teruja apabila mendengar tempat berkenaan menjual daging unta.
"Terujalah sebab tempat lain bela lembu dengan kambing saja, dekat sini ada unta dan dapat tengok unta depan mata," katanya.

ANTARA unta di ladang Sarjuni di Kampung Parit Tengah. FOTO ihsan Buletin TV9
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... lihan-ibadah-korban |
|