|

MUHAMAD Safuan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh wanita yang baru dikenalinya menerusi satu aplikasi sembang, bulan lalu. FOTO Izz Laily Hussein
Kota Tinggi: Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang wanita yang baru dikenalinya menerusi aplikasi sembang, bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Safuan Ridzuan, 32, faham akan pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat membunuh sehingga menyebabkan kematian wanita berusia 35 tahun di KM6, Jalan Kota Tinggi - Kluang berdekatan Kampung Lipat Kajang di sini, kira-kira 10 malam, 1 Jun lalu.
Bagi perbuatan yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, tertuduh turut didakwa atas tuduhan memberikan dirinya dadah berbahaya, methamphetamine ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini, jam 1.25 tengah hari, 23 Jun lalu.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan dikenakan pengawasan polis maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan bagi pertuduhan kes bunuh, tertuduh tidak boleh dijamin.
Mahkamah kemudian bersetuju tidak membenarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 1 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan forensik bagi kes bunuh dan laporan patologi bagi kes dadah.
Difahamkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu baru mengenali mangsa selama dua bulan melalui aplikasi sembang, OMI.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... anita-baru-dikenali |
|