View: 722|Reply: 0
|
Apa sudah jadi Sri Pahang?
[Copy link]
|
|
Penyokong Pahang tidak berpuas hati selepas pasukan kesayangan mereka tewas 3-0 kepada Negeri Sembilan kelmarin.
KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi Sri Pahang?
Itu persoalan yang bermain di fikiran penyokong selepas skuad Tok Gajah terjerumus ke dalam zon penyingkiran susulan kekalahan 3-0 di tangan Negeri Sembilan, kelmarin.
Hanya dua kemenangan, seri dua kali dan enam kali tewas dalam 10 perlawanan Liga Super setakat ini bukanlah pencapaian yang baik buat pasukan yang dulunya dianggap gergasi dalam Liga Malaysia (Liga M).
Nasib hampir sama yang menimpa mereka dalam 10 perlawanan awal musim lalu apabila menang sekali, seri dua kali dan tewas tujuh kali yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tangga ke-10, hanya dua mata dari zon penyingkiran.
Mana silapnya hinggakan penyokong Sri Pahang sendiri dilihat sudah hilang sabar dengan persembahan kurang baik dipamerkan skuad kendalian Christophe Gamel itu.
Ia selepas video penyokong meluahkan perasaan tidak puas hati mereka kepada barisan pemain dan pegawai pasukan yang dikatakan berlaku selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin tersebar di media sosial.
Tindakan penyokong itu wajar ditelan Tok Gajah kerana mengikut reputasi selaku juara sulung Liga Super pada 2004, empat kali juara Piala Malaysia dan tiga kali menjulang Piala FA, kedudukan di tangga ke-11 ketika ini sepatutnya bukan tempat mereka.
Malah, barisan pemain termasuk import dan tempatan yang dimiliki mereka juga bukanlah bertaraf 'cap ayam' atau tidak berkualiti berbanding pasukan lain.
Berdasarkan laporan, skuad Sri Pahang pasukan paling agresif membawa masuk pemain import baharu yang memiliki nilai pasaran mencecah jutaan ringgit seperti Steven Rodriguez (RM1.8 juta), Sherzod Fayziev (RM1.3 juta) dan Kevin Ingreso (RM1.1 juta).
Jadi, adakah salah percaturan jurulatih atau ada perkara lain yang menjadi punca Tok Gajah gagal bangkit dari prestasi buruk musim lalu?
Itu semua perlu dilakukan bedah siasat oleh pengurusan kelab.
Sesuatu yang drastik perlu dilakukan kelab dari Pantai Timur itu bagi mengelak berlaku perkara lebih buruk iaitu tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
Perkara itu tidak mustahil boleh berlaku jika 'virus' yang sedang menyerang Tok Gajah ketika ini tidak segera dirawat dengan penawar yang paling berkesan.
https://www.bharian.com.my/sukan ... dah-jadi-sri-pahang |
|
|
|
|
|
|
| |
|