View: 717|Reply: 0
|
Safawi tuntut rakan jangan lalai
[Copy link]
|
|
Pemain Malaysia, Safawi Rasid meraikan jaringan gol pertama pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Rabu lalu. NSTP/AIZUDDIN SAAD
KUALA LUMPUR: Kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan perlu segera 'dihapuskan' dalam minda pemain negara kerana ujian lebih getir menanti mereka pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2023 berdepan Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Pemain kebangsaan, Safawi Rasid mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak terlalu terbuai dengan kemenangan pada aksi pembukaan itu kerana mereka perlu fokus untuk mengutip tiga mata lagi bagi mencerahkan laluan ke Piala Asia tahun depan.
"Tiga mata pertama ini memberikan satu moral yang baik untuk menentang Bahrain tetapi kita pun perlu perbaiki kelemahan untuk berdepan Bahrain.
"Kita perlu teruskan usaha dan tidak boleh lalai kerana aksi menentang Bahrain adalah sangat penting. Kita akan mengikut perancangan yang sudah ditetapkan oleh barisan kejurulatihan," katanya.
Sebagai rekod, Malaysia dan Bahrain sama-sama terikat dengan tiga mata susulan kemenangan pertama ke atas lawan masing masing namun skuad negara mengungguli Kumpulan E menerusi jumlah jaringan.
Dalam masa sama, pemain berusia 25 tahun itu mengakui setiap bahagian perlu berada dalam keadaan yang sempurna sekiranya mereka mahu memberi cabaran yang terbaik menentang Bahrain yang menghuni ranking ke-89 dunia itu.
"Kita perbaiki kelemahan daripada serangan sampailah ke pertahanan. Kita akan melihat semula video untuk menilai kelemahan yang ada dan kita perbaikinya.
"Saya pun tidak begitu berpuas hati dengan persembahan kerana gagal menyudahkan beberapa peluang. Tetapi saya akan beri yang terbaik untuk membantu pasukan," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... -rakan-jangan-lalai |
|
|
|
|
|
|
| |
|