PEMAIN Malaysia melakukan persiapan di Padang Latihan Palace Sports Nam Dinh semalam menjelang pertemuan dengan Singapura malam ini. – IHSAN FAM
HANOI: Kecederaan beberapa tonggak sedikit sebanyak mengganggu perancangan Brad Maloney dalam membuat pilihan kesebelasan utama apabila menentang Singapura dalam aksi ketiga bola sepak Sukan SEA 2021 hari ini.
Bagaimanapun situasi itu tidak meresahkan pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara itu kerana pemain gantian yang mengisi kekosongan tonggak utama berjaya melaksanakan tugas dengan baik dalam dua aksi pertama yang menyaksikan Malaysia menewaskan Thailand 2-1, diikuti Laos 3-1.
“Kita sentiasa mahu menurunkan barisan pemain terbaik dalam setiap perlawanan tetapi masalah kecederaan sedikit sebanyak mengganggu perancangan awal dan memaksa saya merombak beberapa posisi.
“Saya dan pemain sentiasa menumpukan satu perlawanan ke satu perlawanan. Sudah tentu menang melayakkan kita lebih awal dan kita akan cuba sedaya upaya mengekal momentum kemenangan seperti dua perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tiga pemain skuad negara yang masih dibelenggu kecederaan adalah Hairiey Hakim Mamat, Azam Azmi Murad dan Azrin Afiq Rusmini daripada 20 pemain yang di bawa ke Hanoi.
Malaysia akan berdepan Singapura pada aksi ketiga Kumpulan B di Thien Truong, Nam Dinh, hari ini, di mana kedua-dua pasukan masih mengekalkan rekod tanpa kalah.