CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 304|Reply: 0

[Terengganu] Smart SBB bantu Azizan sara keluarga, tanggung kos kahwin

[Copy link]
Post time 27-3-2022 09:49 AM | Show all posts |Read mode

Azizan Razali (tengah) berbincang dengan penyelianya berkaitan kualiti padi yang ditanam dalam Program Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di bawah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) ketika ditemui di Gong Dasar, Besut, Terengganu, baru-baru ini. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI


BESUT: Pengalaman membantu bapanya mengerah keringat dan bergelumang lumpur di sawah sejak berumur 15 tahun lagi, mendorong Azizan Razali, 28, nekad untuk mengikut jejak sama dalam bidang pertanian.

Anak jati Kampung Jabi itu kini satu-satunya dalam lapan beradik yang meneruskan kerjaya tradisi keluarga menerusi penglibatan sebagai peserta perintis Program Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di bawah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Gong Dasar.

Menariknya, bekas pekerja kilang itu merupakan pesawah termuda dalam kalangan 56 peserta program berkenaan termasuk bapanya, Razali Daud, yang kini berusia 67 tahun.

Menurut Azizan, sebelum terlibat dalam Smart SBB yang bermula akhir tahun lalu, dia terlebih dahulu mengerjakan sawah seluas lebih satu hektar yang diusahakan bapanya, sejak kembali ke kampung pada 2019.

Katanya, kerjaya itu dilakukan semata-mata untuk membantu Razali yang semakin berusia di samping mahu berbakti kepada tanah yang menjadi punca rezeki utama keluarganya selama ini.

“Saya merantau di Kuala Lumpur selama lima tahun dari 2014 dengan gaji bersih kira-kira RM1,200 sebulan dan ramai kawan-kawan terkejut apabila saya beritahu mahu balik ke kampung untuk bekerja di sawah menggantikan ayah.

“Walaupun perlu membanting tulang di bawah terik matahari tetapi itu bukan halangan jika ada minat dan kemahuan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Smart SBB BERNAS di Gong Dasar merupakan lokasi penanaman terbesar bagi varian benih padi baharu, IS21 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob November lalu.

Azizan berkata, Smart SBB menjadi platform terbaik bagi menambah ilmu dan kemahiran pesawah terutama berkaitan kaedah penanaman sistematik menerusi amalan jadual kerja ladang (JKL) di samping penggunaan teknologi moden.

Katanya, walaupun bergelar peserta termuda, namun dia turut menjadi rujukan kalangan pesawah veteran, selain berkongsi pandangan dengan dibantu penyelia, Yusoff Abdul Kadir di samping kakitangan Bernas serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara).

“Menerusi Smart SBB, rutin kerja pesawah kini jauh lebih teratur dan berdisiplin, malah semua urusan dilakukan secara serentak termasuk pembajaan dan penyemburan racun yang menggunakan dron berbanding menggunakan pam sebelum ini.

“Setakat ini, tanaman padi yang sudah memasuki usia 80 hari di kawasan ini tidak berdepan dengan apa-apa masalah termasuk serangan penyakit dan ianya dijangka dapat dituai pada awal Mei nanti,” katanya.

Azizan berkata, pendapatan pertama yang bakal dinikmati itu akan dimanfaatkan bagi per­be­lan­jaan keluarga menjelang Hari Raya Aidilfitri di samping kos maj­lis perkahwinannya pada 6 Jun depan.

Menurutnya, selain bersawah, dia juga menjana pendapatan sampingan dengan menanam sayur-sayuran di kawasan rumah, menternak lembu sado dan menjadi nelayan pada hujung minggu.

“Sementara menunggu hasil pertama padi pada Mei depan, sekurang-kurangnya saya dapat menyara hidup dengan menjual sayur dan ikan,” katanya.

Selain Gong Dasar, Smart SBB BERNAS turut dilaksanakan di beberapa lokasi lain di seluruh negara termasuk di Sungai Batu Pahat dan Titi Tinggi di Perlis, Bukit Besar (Kedah), Sungai Manik (Perak), Tok Kamis dan Jelor (Kelantan), Gancong Hulu (Pahang), Batang Lupar (Sarawak) dan Kampung Kalumbai, Kota Belud di Sabah. – UTUSAN
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-6-2024 01:40 AM GMT+8 , Processed in 0.261107 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list