![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220128/whatsappimage2022-01-28at084509.jpeg)
Abang Johari (tengah) diiringi, Uggah (dua kanan), Awang Tengah (kiri) dan Dr Sim (kanan) menunjukkan dokumen IBR yang telah ditandatangani sambil disaksikan Azam Baki (dua kiri) di Wisma Bapa pada Khamis.
KUCHING: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak menzahirkan komitmen kepada agenda pembudayaan integriti dan menolak rasuah di Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia, pada Khamis.
Majlis lafaz ikrar bebas rasuah itu diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta kesemua barisan Kabinet Sarawak.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak dalam kenyataan hari ini mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Sarawak kerana telah mengambil inisiatif untuk menandatangani IBR bagi membuktikan komitmen penuh mereka untuk membudayakan integriti.
"Pada masa yang sama, memperkasa tadbir urus yang bersih dan telus dalam usaha mewujudkan sebuah negeri yang bebas daripada pelakuan jenayah rasuah," katanya.
Turut hadir menyaksikan lafaz dan menandatangani IBR itu adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki diiringi Pengarah SPRM Sarawak Mohd Zaki Hassan serta Pengarah Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri (UNION)Jabatan Ketua Menteri Sarawak Adana Jed.
utusanborneo.com.my/2022/01/28 |