![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220126/mahkamahkuching2.jpg)
KUCHING: Gara-gara memiliki 0.03 gram dadah jenis Methamphetamine, seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Nisha Lo Abdullah, 32, untuk dikuatkuasakan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Oktober 2021.
Wanita beralamat di Batu Kawa itu mengaku bersalah apabila didakwa memiliki 0.03 gram Methamphetamine pada 22 Oktober 2021, jam lebih kurang 4.45 petang di sebuah rumah di Jalan Datuk Ajibah Abol, di sini.
Berdasarkan keterangan kes, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kuching menahan tertuduh setelah menemui satu tiub straw didalamnya berisi ketulan serbuk jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.07 gram.
Dadah berkenaan ditemui di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar tertuduh.
Untuk perbuatan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
utusanborneo.com.my/2022/01/26 |