Edited by Vellfire at 26-1-2022 01:52 PM
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220126/kks-ub260122-san-pelabuhan-p1copy.jpg)
ANUGERAH: Bung (tengah) menerima beg senarai penerima anugerah daripada 'Ironman' sebagai gimik pelancaran majlis itu.
KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan meneruskan rancangan untuk membina sebuah pelabuhan baharu di daerah Kudat sebagai usaha merancakkan ekonomi setempat sekali gus melonjakkan hasil pendapatan negeri.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, selepas sekian lama tertangguh, rancangan pembinaan pelabuhan itu akan diteruskan memandangkan Kudat berpotensi dibangunkan sesuai dengan lokasinya yang strategik.
Beliau turut membincangkan berhubung rancangan itu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebelum memutuskan untuk meneruskan cadangan berkenaan.
"Kita juga berharap kerajaan Persekutuan bukan sahaja bersetuju dengan keputusan ini, namun dapat menyediakan peruntukan untuk melaksanakan projek pembinaan pelabuhan ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Lembaga Pelabuhan-Pelabuan Sabah (LPPS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Menteri Kerja Raya ini turut optimis pelaksanaan rancangan itu akan dapat merangsang pembangunan setempat memandangkan banyak kawasan berhampiran Kudat seperti Kota Marudu, Matunggong dan Pitas masih kurang kemudahan infrastruktur yang efisien.
Menurutnya, jika perancangan itu dapat direalisasikan, beliau yakin kawasan berkenaan akan pesat membangun.
Pada masa sama katanya, ia memudahkan lagi sistem perhubungan antara Kudat dan kawasan lain khususnya Kota Kinabalu yang menjadi pemangkin pembangunan kawasan Kudat apabila projek Lebuh Raya Pan Borneo siap sepenuhnya.
"Ini adalah satu rancangan pembangunan inklusif dan kerajaan juga akan membina satu bandar baharu selain mewujudkan zon perdagangan khas.
"Ia akan dapat membantu bukan hanya ekonomi Sabah tetapi juga membangunkan kawasan persekitaran Kudat," jelasnya.
Dalam pada itu, Bung berharap kakitangan LPPS yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang akan mengekalkan momentum perkhidmatan cemerlang, selain memberikan anjakan paradigma kepada kakitangan lain untuk mencapai tahap kecemerlangan yang sama.
"Saya berharap bukan sahaja penerima anugerah, malah seluruh kakitangan LPPS akan terus memberikan komitmen yang tinggi, memikul tugas dan amanah yang diberikan dengan melihat perubahan semasa ketika melaksanakan tugas.
"Kita perlu memandang ke hadapan bukan ke belakang bagi meletakkan fungsi dan peranan LPPS pada tempat yang sewajarnya," katanya.
Turut hadir, Pengurus Besar LPPS Felix Liangson dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Jasmin Juplin.
utusanborneo.com.my/2022/01/26
|