![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220126/whatsappimage2022-01-26at101915am.jpeg)
Julaihi merakam kenangan pada majlis Makan Malam Persidangan Tahunan Jurutera Air Bahagian JBALB Sarawak di Kuching, pada malam Selasa.
KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang mewujudkan pusat kawalan yang akan menjadi platform kepada suatu sistem komunikasi yang lebih mudah, pantas,cekap dan efisien untuk para pengguna.
Menteri Utiliti dan Komunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, penubuhan pusat itu merupakan salah satu inisiatif pendigitalan utama bagi pengurusan bekalan air yang mampan dan holistik di JBALB Sarawak.
“JBALB Command Centre ialah platform fizikal dan virtual sehenti bagi pendigitalan bekalan air di jabatan ini termasuk urusan komunikasi korporat dan khidmat pelanggan.
“Ia memastikan pemantauan aspek-aspek dalam pengurusan bekalan air dapat dipermudahkan melalui penggunaan teknologi pendigitalan terkini sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan yang lebih berkesan.
“Ini adalah fasa pertama ke arah pendigitalan perkhidmatan sepenuhnya menjelang tahun 2025,” kata beliau menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau pada Selasa.
Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam Persidangan Tahunan Jurutera Air Bahagian JBALB Sarawak di sebuah hotel di sini, pada malam Selasa.
JBALB Bahagian Kuching menjadi tuan rumah untuk penganjuran persidangan Jurutera JBALB Sarawak bagi tahun ini.
Dalam pada itu, Julaihi turut menjelaskan mengenai usaha kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) untuk memperkenal dan melaksanakan Program Grid Bekalan Air Sarawak.
Menurutnya, tujuan pelaksanan Program Grid Bekalan Air Sarawak adalah untuk menyelesaikan isu dan masalah bekalan air secara berkesan dan efektif menjelang tahun 2025. “Program grid bekalan air ini akan memberi fokus terlebih dahulu kepada kawasan-kawasan yang kritikal,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu.
Hadir sama Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Dato Ir Alice Jawan dan Pengarah JBALB Ir Chang Kuet Shiang.
utusanborneo.com.my/2022/01/26 |