View: 421|Reply: 0
|
[Sarawak]
Lelaki cederakan bapa guna tukul dipenjara, 1 sebatan
[Copy link]
|
|
MIRI: Padah mencederakan bapa kandung menggunakan satu tukul besi dan melakukan khianat, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan sekali sebatan serta denda RM2,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 6 Januari lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam
Mohammad Alrafizal Johari, 24, dari Jalan Pujut Padang Kerbau di sini didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah mencederakan Johari Jaya, 57, menggunakan satu tukul besi hingga cedera di bahagian dahi.
Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan harta benda seperti pintu bilik, meja komputer, kipas angin dan seterika wap milik bapanya hingga menyebabkan kerugian RM1,000.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 2.30 petang, 6 Januari lalu di rumah keluarganya di Jalan Pujut Padang Kerbau di sini.
Hasil siasatan lanjut polis mendapati semasa kejadian, tertuduh telah mengamuk dan merosakkan harta benda di dalam rumah kerana marah tidak diberikan wang untuk membeli rokok dan juga disebabkan ibunya tidak memasak nasi kerana kurang sihat.
Mangsa (bapa) cuba menghalang tertuduh daripada memukul isterinya (ibu tertuduh) dan akibat terkena tukul yang dipegang tertuduh menyebabkan dahi mangsa luka sebesar dua sentimeter.
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan sekali sebatan. Manakala bagi tuduhan kedua, tertuduh didenda RM2,500 atau empat bulan penjara.
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2022/01/11
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|