SELAMAT: Semua mangsa diserahkan kepada pasukan keselamatan Filipina.
SANDAKAN: Seramai 15 individu warga Filipina berjaya diselamatkan apabila bot kumpit yang mereka naiki karam sebelum hanyut ke perairan negara pada Sabtu lalu.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Ahmad Firdaus Shaari berkata semua mangsa dalam perjalanan dari kawasan Bongao, menuju ke Pulau Taganak, Filipina untuk berkursus.
“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan enjin bot kumpit yang mereka naiki rosak dan bocor menyebabkan bot berkenaan hanyut ke perairan negara berhampiran Kinabatangan.
“Maritim Malaysia menerima panggilan kecemasan daripada pasukan keselamatan Filipina bagi mengesan dan menyelamat semua mangsa berkenaan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Katanya, semua mangsa berjaya dikesan pada hari yang sama dan ditemui terdampar di pantai kawasan Kinabatangan.
“Semua 15 individu termasuk tujuh pensyarah terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Sandakan untuk menjalani saringan COVID-19.
“Hasil keputusan ujian saringan semua mangsa mendapati mereka negatif wabak COVID-19,” katanya.
Ahmad Firdaus berkata semua mangsa telah diserahkan semula kepada pasukan keselamatan Filipina di sempadan perairan negara.
utusanborneo.com.my/2022/01/11 |