PANTAU: Mohd Zaidi menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek.
KOTA KINABALU: Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan jenis sedan sebagai tindakan mempertahankan diri selepas suspek cuba merempuh anggota polis di Jalan Tun Fuad Stephan di sini.
Kejadian jam 10.30 itu berlaku selepas suspek dipercayai cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis sebelum memecut kenderaan beredar dari lokasi.
Selepas ditembak, tiga individu termasuk seorang wanita bertindak keluar dari kenderaan itu sebelum melarikan diri dari kawasan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata sebelum kejadian, polis menerima maklumat berkenaan kes keganasan rumah tangga membabitkan pasangan suami isteri di pantai Tanjung Aru kira-kira jam 10.15 pagi.
Katanya bertindak dengan laporan, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sebelum memeriksa lima individu termasuk empat lelaki dan seorang wanita di dalam kenderaan berwarna kuning berkenaan.
“Pihak polis kemudiannya menjalankan siasatan termasuk memeriksa kad pengenalan pasangan suami isteri terbabit.
“Semasa pemeriksaan itu, pemandu kenderaan bertindak mengambil semula kad pengenalan berkenaan sebelum masuk ke dalam kenderaan sebelum memecut bersama dua lagi individu,” katanya.
Menurutnya pihak polis kemudiannya mengejar kenderaan suspek sehingga ke pusat bandar dan kenderaan suspek terpaksa berhenti semasa melalui pusingan U di lokasi kejadian.
“Polis kemudiannya keluar dari kenderaan peronda polis (MPV) untuk menahan suspek bagaimanapun pemandu memecut kenderaan dan cuba merempuh anggota polis terbabit.
“Bagi mempertahankan diri, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan suspek bagi memberhentikan kenderaan terbabit,” katanya.
Mohd Zaidi berkata suspek kemudiannya melarikan diri dan pihak polis sedang melancarkan operasi memburu kesemua suspek yang terlibat dalam kes ini.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar berhubung dengan pihak polis dengan kadar segera.
utusanborneo.com.my/2022/01/11 |