MAUT: Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di dalam kereta tersebut.
SANDAKAN: Tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Lintas Sibuga, di sini pagi tadi.
Kereta berkenaan dipercayai terbabas sebelum merempuh pokok sehingga remuk teruk yang mengakibatkan ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.40 pagi.
Katanya, susulan itu sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Sebaik tiba mendapati terdapat tiga mangsa lelaki terbabit dalam kemalangan itu dan dua daripadanya berada di luar kereta manakala seorang lagi tersepit.
“Pasukan bomba terus menjalankan operasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini hari ini.
Menurutnya, semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital untuk bedah siasat dan kes tersebut serahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba melakukan pemeriksaan bagi memastikan lokasi kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.06 tengah hari,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/10 |