|
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada Jumaat, mengesahkan varian Omicron yang sudah dikesan di 38 negara setakat ini.
Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan.
WHO memaklumkan pihaknya kemungkinan mengambil masa berminggu-minggu untuk menentukan tahap penularan varian itu, sama ada ia menyebabkan penyakit yang lebih teruk dan keberkesanan rawatan dan vaksin terhadapnya.
“Kami akan mendapatkan jawapan yang diperlukan oleh semua orang di luar sana,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan.
WHO dalam kenyataannya juga memberi amaran bahawa penyebaran varian baharu itu boleh menyebabkan lebih separuh daripada kes Covid Eropah, dalam beberapa bulan akan datang.
Sementara itu, Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa Kristalina Georgieva pada Jumaat berkata, varian baharu itu juga boleh memperlahankan pemulihan ekonomi global, sama seperti Delta.
“Sebelum datangnya varian baharu ini, kami bimbang pemulihan kehilangan momentum selagi ia berterusan.
“Varian baharu yang mungkin merebak dengan sangat pantas boleh menjejaskan keyakinan,” katanya.
Amerika Syarikat dan Australia menjadi negara terbaharu yang mengesahkan kes penularan tempatan bagi varian itu, kerana jangkitan Omicron mendorong jumlah kes Afrika Selatan melepasi tiga juta.
Malaysia juga melaporkan jangkitan Omicron pertama semalam membabitkan penuntut asing yang tiba dari Afrika Selatan pada 19 November.
Sri Lanka mengumumkan kes pertamanya membabitkan warganegara yang pulang dari Afrika Selatan. – AFP
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|