"Ukur baju di badan sendiri...tengok poket sendiri. Bagi saya, perlu bijak membuat pilihan dengan pelbagai pertimbangan antaranya khasiat makanan dan harga yang sesuai dengan kemampuan. Lagipun kalau beli di pasar basah, peniaga jujur beritahu mana satu ikan segar dan ikan kotak kepada pelanggan," katanya.
Berlainan pula bagi pekerja am, Rosmini Zakaria, 53, yang berpendapat bahawa dia hanya akan membeli ikan kotak apabila keadaan terdesak terutama ketika anak-anaknya mulai jemu memakan lauk ayam, telur, sardin dan daging sepanjang musim tengkujuh.
"Saya dan suami lebih suka pergi memancing di anak sungai berdekatan asalkan ia ikan segar tapi ada kalanya anak mahu juga ikan laut seperti kembung dan selar. Maka terpaksalah beli untuk penuhi permintaan mereka.
"Kalau boleh, memang kami elak beli ikan kotak kerana risau penggunaan bahan kimia bagi mengekalkan kesegaran ikan yang dikhuatiri mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan untuk jangka masa panjang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya sentiasa memantau kualiti ikan kotak yang dijual di pasaran secara berkala dan setakat ini tiada penggunaan asid borik dan formaldehid dikesan pada produk berkenaan di negeri ini.
"Ia tidak digunakan pada ikan kotak. Ini kerana sifat tindak balas kimia asid borik lebih berkesan dalam merencat pertumbuhan kulat serta yis namun kurang berkesan dalam merencat pertumbuhan bakteria. Malah, proses sejuk beku itu sendiri adalah satu teknik yang mampu memanjangkan jangka hayat ikan dan daging tanpa perlu menambah bahan kimia lain sebagai pengawet.
Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Terengganu terutama penduduk yang tinggal di pesisir pantai memakan ikan segar sebagai menu utama keluarga kerana hasil laut sangat mudah diperoleh dengan harga yang murah.
"Namun, dengan trend kenaikan harga ikan yang terus meningkat ketika ini terutama pada musim tengkujuh, ikan kotak menjadi pilihan rakyat Terengganu kerana teknologi pembekuan dilakukan ketika hasil laut berkenaan masih segar dan ia dijamin selamat serta bersih," katanya.