RASMI: Suryady (kiri) semasa merasmikan program Komuniti Foldies Tawau.
TAWAU: Belia di daerah ini diminta untuk bersama-sama menyahut cabaran membina pembangunan negara ke arah yang lebih baik pada masa kini.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata anak muda harus bangkit mengatur langkah memperkasakan tanah air tercinta bermula dari sekarang.
“Kita sering mendengar bahawa belia adalah generasi pewaris masa depan dan ia adalah suatu kebenaran kerana golongan muda bakal menerajui kepimpinan negara kelak.
“Namun, kita jangan sesekali lupa bahawa masa depan itu bermula pada hari ini dan persiapan diri perlu dilakukan dari awal supaya anak muda mempunyai pengetahuan dan kemahiran,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian semasa merasmikan Program Komuniti Foldies Tawau, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, selari dengan tema Hari Belia peringkat negeri Sabah 2021 ‘Belia Sabah Maju Jaya, Dekad ini Dekad anda’ menuntut anak muda supaya bersedia untuk menjadi pemimpin negara.
“Tema itu sebagai idealisme serta menifestasi mempersiapkan anak muda untuk menjadi pewaris kepimpinan negara pada masa kini dan masa depan.
“Belia di negeri ini perlu dididik menjadi pemimpin yang berprinsip serta harus berjuang bagi mewarnai dekad yang lebih lestari untuk Sabah dan Malaysia,”katanya.
LAWAT: Suryady turut melawat pameran basikal jenis folding yang dipamerkan dalam program tersebut.
Katanya, kerajaan negeri meletakkan pembangunan modal insan sebagai salah satu daripada tiga teras utama pelan pembangunan di Sabah bagi tempoh 2021 hingga 2025 kepada belia.
“Selain itu, kerajaan juga komited untuk melahirkan belia yang cemerlang dan bermotivasi tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik,” katanya.
Mengulas mengenai program yang dianjurkan oleh persatuan Komuniti Foldies Tawau itu pula, Suryady mengucapkan tahniah dan syabas kerana majlis yang diadakan berjalan dengan lancar.
Katanya, penganjuran ini sudah pasti menuntut komitmen padu dan pengorbanan semua pihak bagi memastikan kelancaran program berlangsung.
“Saya dimaklumkan terdapat 10 komuniti yang bernaung di bawah Komuniti Foldies Tawau bersama-sama menganjurkan program pada hari ini.
“Saya yakin dan percaya belia yang bersama Komuniti Foldies Tawau ini adalah mereka yang berjiwa besar dan mampu menyahut cabaran membina negara pada masa akan datang,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/0
|