[backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]Abang Johari melakukan simbolik pecah tanah projek pembinaan Lapangan Terbang Baru Bebuling, Spaoh.
[backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]
KUCHING: Sarawak merancang untuk mempunyai syarikat penerbangan butik sendiri yang akan melalui hab pelancongan yang penting di beberapa destinasi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penerbangan butik berkenaan akan diletakkan di bawah syarikat Hornbill Skyways. "Jika kita diberi mandat pada pilihan raya negeri ini, kita akan menubuhkan syarikat penerbangan butik kita sendiri, yang akan mempunyai kapal terbang untuk membawa kargo serta pelancong. "Penerbangan ini akan melalui laluan ke hab yang penting untuk pelancongan seperti Singapura, Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok dan Hong Kong," katanya berucap pada majlis perasmian pecah tanah Lapangan Terbang Baru Bebuling, Spaoh di Dewan Masyarakat Spaoh di Betong, hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Abang Johari berkata, perancangan berkenaan bukan cakap kosong kerana beliau telah mengira semua kos yang tidak membebankan kewangan yang banyak. Katanya, malahan beliau sudah mempunyai model tersendiri dibawah Hornbill Skyways untuk penerbangan butik berkenaan. Sementara itu pada sidang media selepas majlis, Abang Johari berkata, kini Hornbill Skyways menjalankan perkhidmataan sewaan sahaja dan dengan penerbangan butik terbabit ia bermakna syarikat berkenaan lebih kepada komersial. "Penerbangan butik ini akan menumpukan hab strategik yang akan membawa pelancong serta rakyat kita sendiri. "Kita memerlukan penerbangan berskala kecil seperti kapal terbang yang membawa 100 hingga 120 penumpang ulang alik dan ia menyediakan pilihan kepada pelancong dengan tidak bergantung kepada syarikat penerbangan lain," katanya.
Mengulas lanjut mengenai lapangan terbang di negeri ini, beliau berkata rancangan kerajaan mewujudkan lapangan terbang bukan sahaja di Spaoh tetapi di Kapit serta Lawas, yang bertujuan akan meningkatkan ekonomi rakyat. Katanya bagi lapangan terbang Bebuling yang menelan kos lebih RM108 juta itu, ia merupakan satu-satunya projek strategik sebagai akses ke pasaran untuk pembangunan yang sedang berlaku di Betong serta kawasan sekitarnya. "Kawasan ini mempunyai dua kegiatan ekonomi yang sangat penting dimana pertamanya adalah pertanian kerana kawasan ini merupakan 'Food Basket' dan pusat pengeluaran makanan. "Selain itu pelancongan, dimana ia berdekatan dengan Batang Ai dan semua ini akan membantu mengembangkan ekonomi penduduk setempat," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/30
|