[size=0.8]M Hifzuddin Ikhsan - Oktober 17, 2021 @ 4:01pm[email protected]
Takiyuddin menyaksikan penyerahan replika surat niat Pemasangan Solar di antara TNB dengan LADA pada Majlis Penyerahan Surat Niat Pelaksanaan Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung hari ini. - FOTO BERNAMA
LANGKAWI: Keputusan sama ada rebat elektrik yang dinikmati 9.44 juta pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga 31 Disember ini diteruskan atau tidak akan ditentukan mengikut kedudukan kewangan negara.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya sudah membawa perkara berkenaan untuk dibincangkan di Kabinet, namun keputusan mengenainya belum dibuat.
Jelasnya, rebat elektrik sebanyak dua sen/kWj itu mula diberi kepada pengguna mulai 1 Julai lalu dan dijadual tamat pada akhir tahun ini.
"Saya bawa perkara ini kepada perbincangan kerajaan, ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, jika keadaan kewangan kerajaan mengizinkan, rebat boleh diteruskan.
"Kita juga kena tunggu pembentangan Bajet 2022, jika (pemberian rebat) diluluskan Kementerian Kewangan maka boleh dilanjutkan, kita harap ada berita baik," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Niat Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju; Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datu Ir Nawawi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib.
Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan pemberian rebat elektrik membabitkan peruntukan RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Sementara itu, mengulas mengenai kegiatan perlombongan emas haram yang didedahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah di Lahad Datu kelmarin, beliau berkata siasatan dan tindakan lanjut akan diambil Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Katanya, kerajaan secara umum tidak menghalang kegiatan itu, namun ia perlu dilakukan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihaknya dan kerajaan negeri Sabah.