|
Gegaran acara seni dan budaya - Festival Kuala Lumpur 2008
Oleh WANDA IDRIS
Foto MOHD FARIDZWAN HASBULLAH
utusan online 6/7/08
--------------------------------------------------------------------------------
MALAM Sabtu minggu lalu, Esplanade KLCC dimeriahkan dengan pelancaran Festival Kuala Lumpur 2008 atau KL Fest yang penuh gilang gemilang lagi warna warni. Bermatlamatkan Kuala Lumpur sebagai hab seni warisan dan budaya antarabangsa, KL Fest berlangsung buat kali ketiga dengan acara perasmiannya disempurnakan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Sebanyak lebih 80 aktiviti disediakan sepanjang sebulan penganjuran yang bermula 1 Julai lalu meliputi persembahan seni, seni tampak, kesusasteraan dan bahasa, warisan dan permainan tradisonal.
Persembahan seni tidak sahaja meliputi penganjuran Festival Muzik Kuala Lumpur yang menampilkan beberapa siri konsert di Istana Budaya tetapi juga persembahan artis tempatan dan luar negara di beberapa lokasi sekitar ibu kota antaranya Dewan Filharmonik, Dataran DBKL dan Dataran Merdeka.
Festival Muzik Kuala Lumpur sudah bermula 2 Julai dengan kemeriahannya diakhiri dengan persembahan Konsert orkestra Simfoni Kebangsaan dan Koir Kebangsaan. Kedua-dua konsert ini di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi dan jurulatih vokal Syafinaz Selamat selain pemuzik jemputan, pemain solo violin Simone Lamsma dari Belanda pada malam ini (6 Julai).
Beberapa siri konsert dan pementasan juga diadakan antaranya Konsert Rakyat yang menampilkan artis-artis seperti Mawi, Dayang Nurfaizah, Erra Fazira, Meet Uncle Hussain, Hujan dan Pop Shuvit di Dataran Merdeka pada 13 Julai ini.
Konsert Nyanyian KL pula merupakan persembahan tiga hari daripada penggiat seni tempatan seperti Pete Teo, Shahnon Shah, Reza Salleh dan ramai lagi di Pentas 2, KLPac pada 18 Julai hingga 20 Julai.
Tidak ketinggalan Hiburan Rakyat yang menampilkan persembahan Achik Spin dan Siti Nordiana dengan iringan Kombo DBKL yang bakal berlangsung di Pavillion Bukit Angkasa pada 19 Julai.
Minggu Komedi juga pastinya mencetuskan keinginan ramai untuk menyaksikan persembahan beberapa artis komedi tempatan yang berlangsung di The Actors Studio, Bangsar bermula 22 Julai higgga 4 Ogos.
Bermula 25 Julai selama sembilan hari, Festival Deram Dunia 2008 akan berlangsung di beberapa lokasi terpilih selain pertandingan Bintang Asli dan persembahan Teater Muzikal Patriot yang masing-masing berlangsung di Angkasapuri dan Istana Budaya pada 27 Julai dan 29 hingga 3 Ogos.
Para peminat muzik solo juga jangan ketinggalan menyaksikan persembahan daripada artis terkenal dunia di dewan Filharmonik.
Sementara seni tampak pula meliputi aktiviti pameran fotografi, kraf dan lukisan yang dipersembahkan yang bertempat di beberapa lokasi antaranya Berjaya Times Square, Muzium Negara dan Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia.
Tidak ketinggalan penayangan filem-filem pilihan tempatan seperti Dunia Baru the Movie, Kala Malam bulan Mengambang, Evolusi KL Drift, Cuci, Congkak, 1957: Hati Malaya, Duyung dan Akhirat di Finas dan Panggung Coliseum.
Aktiviti kesusasteraan dan bahasa pula meliputi antaranya sayembara deklamasi puisi, Malam Puisi Warisan, Deklamasi Puisi Kuala Lumpur dan Bicara Puisi.
Sementara warisan dan permainan tradisional pula meliputi aktiviti pameran kaligrafi, promosi perkahwinan tradisional, bengkel permainan tradisional serta pertandingan dan demonstrasi permainan tradisional.
Shafie dalam ucapannya ketika perasmian berkata, untuk mencapai matlamat menjadi hab seni warisan dan budaya antarabangsa, pihaknya akan mempromosikan Festival Kuala Lumpur ke seluruh dunia sebagai satu jenama yang sinonim dengan imej sebuah bandar raya yang pesat membangun tetapi kaya dengan aktiviti seni, budaya dan warisannya.
Bertemakan Di Sini Semaraknya Seni, perasmiannya diserikan dengan kemunculan artis-artis seperti Maya Karin dan Kamarulzaman Taib atau lebih dikenali dengan panggilan Che扠em selain Farawahida dan Imuda.
Selain dendangan nyanyian turut diserikan adalah persembahan kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum di negara ini.
Shafie juga yakin penganjuran festival sebegini mampu memberi landasan untuk mengekalkan warisan budaya dan kesenian tempatan kepada generasi akan datang.
Optimis dengan pembangunan kesenian dan kebudayaan, penyediaan prasarana juga perlu untuk menggalak dan memasarkannya.
Malah, tegas Shafie, aktiviti kebudayaan dan kesenian mampu memberi manfaat kepada semua sektor khususnya dalam bidang pembangunan modal insan, produk dan perkhidmatan.
Ia juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan di samping mempertingkatkan ekonomi dalam bidang keusahawanan sekali gus berpotensi dalam memberi sumbangan kepada peningkatan ekonomi negara. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|