Kekecewaan terubat dapat jumpa Mawi
Oleh MALIAH SURIP
[email protected]
Mohd. Zainuddin tersenyum lebar apabila akhirnya dapat bertemu Mawi di Kulai semalam.
KULAI - Kekecewaan Mohd. Zainuddin Kasaman, 18, selepas 72 jam gagal menemui idolanya, Mawi setelah melalui perjalanan nekad ke rumah penyanyi itu di Felda Taib Andak, Kulai dari Klang, Selangor akhirnya terubat semalam.
Ini kerana, beliau menerima kunjungan mengejut daripada penyanyi popular itu.
Pertemuan yang berlangsung selama sejam di kediaman bapa saudara remaja tersebut, Mohd. Amin Tasmi, 66, yang kebetulan tinggal di kampung yang sama telah membuatkan Zainuddin begitu terkejut dan teruja.
"Abang Mawi, saya sayang abang Mawi," katanya malu-malu sebelum dipeluk Mawi atau Asmawi Ani, 27.
Luahan perasaan Zainuddin yang menghidapi autisme itu kemudiannya disusuli dengan nasihat Mawi agar anak keenam daripada lapan beradik itu tidak melarikan diri dari rumah lagi hanya mahu bertemunya.
"Lain kali jangan buat macam ini lagi, kasihan pada mak, dia bimbang," kata Mawi sambil Zainuddin berjanji untuk tidak lari daripada rumah lagi.
Zainuddin kemudiannya menceritakan perjalanannya dengan hanya berbekalkan RM200 wang tabungnya nekad meredah perjalanan dari Klang ke Kulai menaiki bas dan kereta api kerana terlalu minat terhadap juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu.
Sementara itu, Mawi melahirkan rasa terharu dengan berkata tidak menyangka Zainuddin sanggup bertindak nekad semata-mata mahu bertemunya.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana dia selamat dan saya berkesempatan menunaikan hajatnya bertemu saya hari ini (semalam)," kata penyanyi itu lagi sambil menghulurkan dua keping cakera padat albumnya.
Zainuddin dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Meru 3, Klang, Selangor pada Khamis lalu sebelum keluarganya membuat laporan polis dan disebarkan media.
Penuntut Sekolah Menengah Klang Utama ini kemudian dilaporkan ditemui orang ramai di Stesen Kereta Api Kulai sebelum dihantar ke kediaman bapa saudaranya di Felda Taib Andak, Kulai.
|